Isnin, 29 Jun 2009

Pemandu peroleh lesen kenderaan automatik hanya dibenar pandu kenderaan automatik

Oleh G. MANIMARAN


KUALA LUMPUR: Pemandu-pemandu baru memperoleh lesen dengan bergantung pada kenderaan automatik hanya akan dibenarkan memandu kenderaan yang berfungsi menggunakan sistem automatik pada masa depan.

"Jika seseorang itu memandu menggunakan kenderaan manual, mereka boleh memandu kenderaan yang menggunakan sistem manual dan automatik.

"Bagaimanapun jika hendak memperoleh lesen menggunakan kenderaan automatik, mereka hanya boleh memandu kenderaan automatik," kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew.

Beliau menjawab soalan Norah Abdul Rahman (BN–Tanjong Manis) di Dewan Rakyat hari ini.Kata Lau, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dalam proses mengkaji semula struktur kurikulum memandu yang sedia ada.

"Bagi tujuan pelaksanaan kenderaan automatik sebagai kenderaan ujian memandu, JPJ sedang membuat pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Lesen Memandu) 1992 bagi membolehkan calon menggunakan kenderaan automatik untuk ujian memandu dan menetapkan kelas khas lesen memandu penggunaan kenderaan automatik," katanya.

Ketika mengemukakan soalan tambahan, Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali (PAS–Titiwangsa) berpendapat bahawa penggunaan kenderaan automatik semasa ujian memandu akan menghilangkan kemahiran asas pemanduan.

"Adakah kerajaan menjalankan kajian sebelum melaksanakan dasar tersebut?" katanya.

Lau menjawab bahawa sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada JPJ, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan dan persatuan sekolah-sekolah memandu sedang menjalankan kajian berkenaan.

Tiada ulasan: