Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
TAIPING - Penggantungan terhadap tenaga kerja asing bagi sektor perladangan negara akan mampu ditangani menjelang tahun 2020.
Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin berkata, kerajaan kini sedang berusaha menarik minat anak tempatan terutama belia bagi mengisi keperluan tenaga kerja tersebut.
"Bukan kita tidak perlu lagi tenaga kerja asing tetapi kita mahu mengurangkan jumlah mereka daripada mungkin lebih 500,000 orang yang ada kepada hanya kira-kira 100,000 orang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ceramah dan pameran kerjaya di sektor perusahaan, perladangan dan komoditi peringkat negeri di Kompleks Rakan Muda di sini hari ini.
Menurut Hamzah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan Sektor Perladangan dan Komoditi (Jami), golongan belia wajar menukar tanggapan mereka bekerja di ladang 'tidak akan menjadi kaya'.
Kerajaan, katanya, mempunyai strategi untuk membantu mereka mencipta kejayaan hebat menerusi bantuan-bantuan seperti modal dan kepakaran.
Bagi menjayakan hasrat itu, ujarnya, lebih banyak program kerjaya dan kesedaran membabitkan golongan belia akan dianjurkan.
Pada masa yang sama, Hamzah berkata, beliau bersedia membantu mana-mana individu yang berminat mengusahakan tanaman komoditi seperti koko, getah dan kelapa sawit tetapi mempunyai masalah-masalah tertentu.
"Mereka boleh menulis surat terus kepada saya menyatakan apa masalah yang dihadapi dan apa bantuan yang boleh diberikan. Jika permohonan tersebut memberi kebaikan, saya akan membantu," katanya.
Menjawab soalan keengganan sesetengah majikan mengambil pekerja tempatan, katanya, masalah tersebut akan mudah diatasi sekiranya majikan terbabit sedar tentang tanggungjawab mereka kepada negara.
Tegas beliau, sudah sampai masanya pengusaha atau majikan tidak harus memikirkan soal keuntungan peribadi sahaja tetapi mengambil kira faktor kesejahteraan negara dan rakyat keseluruhannya.
"Kalau kita beri gaji lebih sedikit kepada anak tempatan, wang akan sentiasa berada di dalam negara dan sudah tentu ini membantu menjana ekonomi negara yang akhirnya akan dinikmati oleh rakyat juga.
"Kalau beri pada orang luar (pekerja asing), wang kita akan keluar sedangkan hanya beberapa orang majikan sahaja yang terima manfaat. Bayangkan apa akan jadi pada masa depan negara kita," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan