Selasa, 30 Jun 2009

Pekerja asing hutang RM3.055j

Oleh ROHANI IBRAHIM


PETALING JAYA - Bilangan pekerja asing di negara ini ialah dua juta orang, iaitu jauh lebih kecil daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah lebih 26 juta orang.

Namun, jumlah bil hospital tertunggak antara kedua-duanya bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini hampir sama.

Bagi tempoh berkenaan, tunggakan bayaran akibat warga asing yang lari daripada membayar bil di semua hospital kerajaan ialah RM3.055 juta sementara tunggakan bil hospital rakyat tempatan ialah RM4.8 juta.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, antara langkah mengatasi masalah itu ialah bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dalam menyediakan kertas cadangan supaya majikan membeli insurans kesihatan untuk pekerja asing.

"Langkah lain ini termasuklah meminta pembayaran pendahuluan yang lebih tinggi berbanding pesakit warga Malaysia.

"Majikan kepada pekerja asing juga perlu mengemukakan surat jaminan bagi memastikan mereka bertanggungjawab membayar bil perubatan pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai merasmikan majlis Anugerah Vendor Cemerlang Pharmaniaga Berhad di Sheraton Subang Hotel & Towers di sini hari.

Jelas Rosnah, pelaksanaan pembayaran pendahuluan dan surat jaminan oleh majikan ke atas pekerja asing yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan sudah dimulakan baru-baru ini.

"Namun, pengumuman rasmi mengenai pelaksanaannya akan dibuat tidak lama lagi. Selain surat jaminan, majikan juga perlu mengisi borang apabila pekerja asing mereka mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

"Ini bagi membolehkan majikan dikesan untuk bertanggungjawab ke atas bil hospital pekerja mereka," tambah beliau.

Rosnah menjelaskan, dari segi kemanusiaan kerajaan masih perlu beri rawatan kepada pekerja asing.

"Tetapi kita ada masalah dengan pendatang yang tinggalkan hutang di hospital kerajaan dan langkah mengatasinya perlu diambil memandangkan ia merugikan kerajaan," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada warga asing yang paling ramai berhutang dengan hospital kerajaan di Malaysia ialah warga Indonesia.

Tambah Rosnah, Malaysia sering diberi gambaran tidak baik oleh media Indonesia namun tiada pihak mengetahui masalah ditanggung kerajaan.

Sementara itu, mengulas mengenai langkah untuk mengesan warga tempatan yang lari dari membayar bil hospital kerajaan, beliau berkata, beberapa pendekatan sudah digariskan.

"Semuanya masih di peringkat perbincangan dan pengumuman akan dibuat selepas sebarang keputusan diambil," tambah beliau.

Tiada ulasan: