Zulkifli Yahaya
Sewaktu pertarungan antara dua gergasi Umno, Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah dalam tahun 80-an, kelebihan ternyata berpihak kepada Dr Mahathir kerana ketika itu dia Perdana Menteri. Dengan kuasa yang ada di tangannya semua media utama negara diletak di bawah telunjuknya.
Setiap kali dia turun untuk road-show ke negeri-negeri, dia tidak menggunakan status Presiden Umno tetapi menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri. Seluruh kakitangan kerajaan dan pencacai Umno diperalatkan untuk menaikkan sepanduk kononnya menyokong kepimpinan Dr Mahathir. Semua itu adalah perancangan tokoh-tokoh Umno dari kem Dr Mahathir.
Dari aspek propaganda, sokongan terhadap Dr Mahathir nampak hebat dan imej Tengku Razaleigh semacam berjaya dibenamkan. Namun persepsi orang yang berada di luar kandang Umno, ia menyerlahkan situasi bahawa Umno berpecah dan berpuak.
Memang Umno berpecah pun, tapi bijakkah bagi mereka 'memberitahu' seluruh dunia bahawa mereka berpecah? Umno beruntung kerana bagaimana berpecah pun parti yang mendominasi BN ketika itu, majoriti rakyat tetap menyokong mereka.
Bukan dalam isu beliau melawan Tengku Razaleigh sahaja, dalam pelbagai isu yang lain selepas itu, modus operandi yang sama digunakan juhalak-juhalak Dr Mahathir bagi melakukan propaganda kononnya dia mendapat sokongan yang padu dari rakyat atau ahli-ahli Umno.
Apabila Abdullah Ahmad Badawi cuba dijatuhkan selepas pilihan raya umum ke-12, Abdullah tidak pula menggunakan strategi Dr Mahathir, dengan embuat kerahan tenaga para penyokongnya berhimpun di lapangan terbang untuk menyatakan sokongan besar-besaran terhadapnya.
Zaman Abdullah, Umno lemah tenaga batin dan zahir. Dia bijak kerana tidak 'memberitahu dunia' perihal perpecahan dalam Umno, supaya Umno tampak hebat dan bersatu. Barangkali darjah keikhlasan dan jati diri Abdullah terhadap Umno lebih tinggi daripada Ghafar Baba, justeru biarkanlah dirinya ditolak ahli-ahli Umno asalkan rakyat menerima Umno.
Beberapa hari lalu, ramai terkejut dan tertanya-tanya apabila sebuah stesen media talibarut BN menyiarkan laporan mengenai terdapat beratus ahli-ahli PAS yang mengangkat sepanduk menyatakan sokongan terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS sewaktu beliau tiba di Lapangan Terbang Kepala Batas, Kedah.
Tentulah peristiwa yang berlaku bukan atas kehendak Tuan Guru sendiri atau mana-mana pemimpin PAS Pusat, cuma ia inisiatif kalangan tertentu dalam parti yang ghairah sangat terhadap isu tertentu yang dilihat melanda parti.
Mereka yang meregang sepanduk adalah golongan yang ikhlas, cintakan jamaah. Cuma terlanjur, tanpa disedari tertiru budaya Umno, sedangkan jalan penyelesaian terhadap krisis yang berlaku dalam jemaah, sesama anggota jamaah bukan begitu.
Penularan budaya buruk Umno dalam masyarakat perlu dibendung. Apatah lagi jika tempiasan budaya tersebut dijangkiti oleh anggota jamaah Islam.
Mengadakan sidang media untuk mengumumkan pertandingan dulunya hanya dibuat oleh pemimpin BN, sekarang sudah menular ke dalam PAS. Dalam Islam, meminta jawatan tidak perlu dilakukan, maksudnya dalam kepimpinan organisasi Islam. Kalau berlawan dengan golongan yang menolak Islam atau golongan sekular itu cerita lain.
Bagi kepimpinan, mengambil pendirian secara individu atau sekumpulan individu dalam isu-isu besar tanpa merujuk kepada parti adalah cara Umno. Umno tidak perlu merujuk kitab kerana tiada institusi ulama atau majlis syura. Tiada perhitungan syarie, halal dan haram. Di zaman Dr Mahathir, keputusan dibuat oleh beliau seorang kemudian dibentangkan kepada Majlis Tertinggi untuk disetujui.
Mungkin ada yang bertanya, adakah antara kepimpinan parti yang mengambil sikap seperti itu? Jawabnya, takkan terbungkas habis pokok-pokok sampai heboh seantero negara baru-baru ini kalau tiada angin ributnya, sehingga memeningkan ahli-ahli bawahan.
Bagaimanapun, apa yang ditulis di atas adalah sekadar cetusan idea untuk tujuan 'mental exercise'. Jika ada pandangan kedua atau ketiga demi kebaikan bersama, berbincanglah dengan ikhlas. - mks._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan