Selasa, 30 Jun 2009

'Bini puaka' bawa siswa UM ke mahkamah

Abdul Rahim Sabri
(kemaskini 6.34pm)


Gara-gara didakwa menconteng perkataan- perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, dua pelajar Universiti Malaya dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dituduh bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Dua pelajar Akademi Pengajian Islam itu juga dihadapkan bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Seorang pegawai penyiasat memberitahu Malaysiakini petang ini, kedua-dua pelajar tahun dua itu dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 3 petang tadi.

Selain contengan, menurut sumber polis lagi, terdapat kesan simbahan petrol di permaidani merah yang bakal dilalui oleh isteri Datuk Seri Najib Razak.

Kesalahan-kesalahan tersebut dipercayai dilakukan oleh lima orang, termasuk dua menconteng, dua mengawasi kawasan sekeliling sewaktu kejadian dan seorang lagi dianggap dalang perbuatan itu, kata pegawai polis tersebut yang enggan dikenali.

Polis sedang mencari tiga lagi suspek, termasuk exco kepemimpinan dan kerohanian Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) Mohd Aizat Mohd Salleh.

Mohd Izzuddin ditahan 4 pagi Rabu lalu, hari lawatan wanita pertama negara untuk menutup kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin di dewan utama Akademi Pengajian Islam (foto: perkataan telah dipadamkan).

rosmah grafiti caricarture universiti malaya 300609Sementara rakannya Mohd Syahruldeen pula ditahan keesokannya di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, kata pegawai penyiasat itu lagi.

Kedua-dua pelajar kini ditahan di lokap mahkamah sementara diikat jamin esok.

Susulan siasatan terhadap contengan tersebut, polis menggeledah empat rumah pelajar, termasuk sebuah yang disewa wanita, universiti tersebut.

Ketika dihubungi hari ini, Mohd Aizat bagaimanapun tidak dapat mengesahkan tujuan polis menggeledah.

Pada 26 Jun, sebuah rumah pelajar wanita di Seksyen 17 Petaling Jaya digeledah kira-kira sejam oleh empat anggota polis berpakaian biasa.

Polis merampas cat yang digunakan untuk membuat kain pemidang bagi menyambut kedatangan pelajar baru, Ahad lalu.

Keesokannya, polis menggeledah sebuah rumah pelajar lelaki di Seksyen 17 Petaling Jaya pada sebelah petang. Tiada rampasan dibuat.

Hujung minggu minggu, jam 3 pagi, sebuah lagi rumah pelajar di Seksyen 17 Petaling Jaya didatangi tiga anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor dengan membawa Izuddin Hilmi dan Mohd Sharuddin dalam keadaan bergari dengan berbaju tahanan lokap.

Kumpulan polis yang sama dengan dua suspek kemudian ke rumah pelajar lelaki di Seksyen 14 Petaling Jaya, kira-kira 3.30 pagi. Mereka berada lebih kurang setengah jam.

Mereka selepas itu ke rumah sewa lelaki Seksyen 17 Petaling Jaya, bagi kali kedua sejak 27 Jun lalu, lebih kurang jam 4 pagi.

Tiada rampasan di ketiga-tiga rumah tersebut.

Polis juga tidak menunjukkan sebarang waran geledah di semua rumah terbabit, kata Mohd Aizat lagi ketika diihubungi.

Beliau menjelaskan MPMUM sedang menyediakan khidmat guaman untuk kedua-dua pelajar tersebut.

rosmah mansor and anti rosmah videosRosmah sering diburuk-burukkan dengan label nama wanita Mongolia yang mati dibunuh menggunakan bom plastik C4. Beliau bagaimanapun menafikannya.

Sementara label liar "puaka" dipercayai ada kaitan dengan tiga klip video di internet yang melemparkan pelbagai tuduhan, termasuk melupakan adik angkat dan anak sendiri, selain kampung halamannya.

Rosmah atau Najib setakat ini belum memberikan sebarang ulasan.

Bagaimanapun beberapa laman web pro-Umno menafikannya. Satu laman web Malaysia Instinct mendakwa bercakap dengan Rosmah dan beliau menafikan pernah mengabaikan anaknya Azrene Soraya Abdul Aziz - daripada perkahwinan awal sebelum Najib.

Sewaktu dihubungi Malaysiakini hari ini, seorang pegawai Universiti Malaya berkata pihaknya tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini.

"Biarkan polis kendalikan kes ini," demikian arahan yang diterima beliau, yang enggan dinamakan.

Tiada ulasan: