Ahad, 28 Jun 2009

KRT Di Pahang Bakal Guna Frekuensi Khusus Untuk Berkomunikasi

BERNAMA


KUANTAN -- Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri Pahang bakal menggunakan frekuensi khusus dikenali "Radio Perpaduan" bagi meningkatkan keberkesanannya dalam mencegah kegiatan jenayah.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Datuk Mohamad Sahfri Abd Aziz berkata Radio Perpaduan yang dijangka beroperasi Ogos ini membolehkan sesuatu KRT berkomunikasi dan memohon bantuan dengan KRT yang lain serta pihak polis jika berlaku sebarang jenayah atau bencana alam.

"Sebelum ini, KRT lebih menggunakan radio amatur, namun penggunaannya agak terbatas kerana seseorang itu perlu lulus ujian tertentu bagi mengendalikannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kenegaraan Dalam Konteks Perlembagaan Persekutuan dan Perpaduan Negara di sini, hari ini.

Selain itu menurutnya melalui frekuensi itu juga KRT terbabit boleh menghebahkan sebarang program yang akan dianjurkan dengan lebih cepat berbanding penggunaan surat dan faks ketika ini.

Sebagai permulaan 15 KRT berisiko tinggi jenayah di Kuantan akan mempunyai akses untuk menggunakan kemudahan frekuensi berkenaan dengan setiap KRT itu dibekalkan tiga Walkie Talkie membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM150,000.

Tiada ulasan: