Selasa, 30 Jun 2009

Hakim mahu rotan pesalah cetus debat

Jabatan Peguam Negara fail semakan keputusan

Oleh Mohd Hamizar Hamid


PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara sudah memfailkan semakan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Khamis lalu, untuk melaksanakan sendiri hukuman sebat terhadap seorang pemuda yang mengaku salah melakukan rompakan bersenjata.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata semakan terhadap keputusan Hakim Zainal Abidin Kamarudin itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, minggu lalu.

"Kita sudah memfailkan semakan (review) mengenai keputusan itu minggu lalu.

"Saya tidak mahu memberikan sebarang komen mengenainya... kita tunggu saja keputusan (Mahkamah Tinggi)," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Berikutan itu, beliau meminta semua pihak menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubungnya.

Khamis lalu, Zainal Abidin ketika membacakan keputusannya dalam kes Muhammad Syafiq Abd Wahab, 20, yang mengaku salah melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang pelajar, menjatuhkan hukuman 10 sebatan di premis mahkamah dan 200 jam khidmat masyarakat.

Dalam keputusan yang jarang dibuat itu, Zainal Abidin memutuskan beliau sendiri akan melaksanakan hukuman sebat itu menggunakan rotan halus yang disediakan mahkamah, di hadapan ibu bapa Muhammad Syafiq pada 15 Julai ini.

Hukuman sebat di mahkamah dengan disaksikan ibu bapa pesalah dibenarkan mengikut Seksyen 293 (1) (c) Kanun Acara Jenayah.

Bagaimanapun, banyak pihak termasuk Majlis Peguam dan peguam tidak bersetuju dengan keputusan itu kerana ia bercanggah dengan doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif, kehakiman dan legislatif.

Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan dilapor berkata, tindakan merotan pesalah tidak wajar dilakukan seorang hakim kerana beliau tidak boleh memainkan dua peranan sekali gus, iaitu sebagai hakim dan penghukum.

Katanya, adalah satu pencabulan serius terhadap proses perundangan jika hakim cuba mengambil alih tugas menghukum.

Peguam, Karpal Singh pula berkata, walaupun Seksyen 288(4) Kanun Acara Jenayah tidak menyebut secara khusus siapa yang harus melaksanakan sebatan itu, ia tidak bermakna hakim boleh melakukannya.

“Menyebat adalah tugas eksekutif, biarkan pegawai lain di mahkamah melakukannya,” katanya.

Tiada ulasan: