Isnin, 1 Jun 2009

Kontraktor bukan bidang separuh masa

SINAR HARIAN ONLINE


ALOR SETAR - Bidang kontraktor seharusnya dijadikan sebagai profesyen utama dan bukannya kerja separuh masa, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata, bilangan kontraktor yang terlalu ramai, iaitu lebih 45,000 perlu dikecilkan, antaranya dengan cara mengekalkan kontraktor sepenuh masa yang serius bekerja.

“Kalau nak jadi kontraktor dalam bidang binaan terutamanya, kena serius dan jadikan ia sebagai punca utama pendapatan individu berkenaan.

“Kebanyakan kontraktor separuh masa ni buat kerja ambil ringan dan hasilnya kurang berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas mer:asmikan mesyuarat agung Persatuan Kontraktor Melayu Kedah, di sini malam kelmarin.

Sambil mengalakkan kontraktor kecil menubuhkan konsortium, beliau berkata, langkah itu akan memberikan mereka sinergi untuk berdaya saing di pasaran global, keupayaan kewangan kukuh serta kebolehan melaksanakan sebarang projek.

Shaziman turut menekankan bahawa persatuan amat penting dan berperanan membantu kerajaan menentukan hala tuju industri binaan negara.

“Sebarang permasalahan yang timbul di dalam industri boleh disalurkan kepada persatuan sebelum disampaikan kepada kementerian,” katanya.

Tiada ulasan: