Isnin, 1 Jun 2009

Isu PKFZ: Ronnie Lapor SPRM

MURIZA ABDUL HAMID


SHAH ALAM - Satu lagi laporan berhubung isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dibuat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu hari ini.

Laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dibuat bersama Pengerusi DAP, Lim Kit Siang di pejabat SPRM negeri di Plaza Masalam di sini.

Ronnie ketika ditemui pemberita berkata, beliau tampil membuat laporan keempatnya berhubung isu tersebut berikutan tiga laporannya sebelum ini tidak diambil sebarang tindakan.

“Saya mahu mereka menjalankan siasatan, kenapa tiada tindakan diambil walaupun laporan mengenainya telah dibuat sejak tahun 2004 lagi,” katanya yang kesal laporannya sebelum ini diketepikan pihak berkenaan.

Mengulas mengenai laporannya sebelum ini, Ronnie berkata sudah membuat laporan pertama pada tahun 2004 setelah mendapati wujudnya kepincangan dan kelemahan dalam perlaksanaan projek tersebut.

“Laporan pertama tiada sebarang tindakan sehingga pada tahun 2007 kos pembangunannya telah meningkat dan melebihi RM2 bilion memyebabkan saya membuat laporan polis.

“Namun tindakan belum juga diambil sehingga laporan ketiga dibuat ekoran kos pembangunannya telah melonjak RM3 bilion”, katanya yang turut membuat laporan sama sebelum penghujung tahun 2007 kepada pihak polis dan juga SPRM.

Menurut Ronnie, jika pihak terbabit bertindak dan segera menjalankan siasatan sebelum ini, kemungkinan jumlah kerugian dapat dikurangkan selain tidak menjadi projek gajah putih.

Dalam perkembangan sama, Ronnie memberitahu pihak SPRM Selangor turut menasihati beliau supaya menghantar laporan bertulis kepada Jawatankuasa Aduan SPRM dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah untuk tindakan.

Katanya, sebarang laporan polis mengenai rasuah bakal dilaporkan secara terus ke SPRM tanpa menyiarkan nama-nama mereka yang terlibat.

Tiada ulasan: