SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan bersikap hipokrit dalam menangani isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Katanya, pendirian sambil lewa kerajaan dalam menangani isu terbabit memperlihatkan sikap sebenar mereka yang sanggup menggadaikan kepentingan negara terutama apabila ‘kecurangan’ itu membabitkan ahli UMNO.
“Kita melihat wujudnya pendakwaan terpilih terhadap mereka yang dianggap sebagai musuh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam blog beliau, semalam.
Anwar juga mendakwa kerajaan sehingga hari ini tidak mempunyai perancangan jelas untuk melaksanakan perubahan dan memulihkan ekonomi seperti yang dijanjikan di bawah dua pakej rangsangan ekonomi sebelum ini.
Menurutnya, kegagalan kerajaan menyediakan maklumat untuk tatapan dan penelitian umum berhubung proses pemberian tender kerajaan menyebabkan rakyat menganggap pakej tersebut tidak memberi kesan kepada mereka.
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi tahun ini yang diunjurkan kepada negatif lima peratus seperti diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini adalah kedudukan ekonomi terburuk sejak krisis kewangan terbaru.
“Negara ini di ambang kemelesetan. Kadar pengangguran akan mendadak naik dan kilang akan lebih banyak ditutup. Berkemungkinan setengah juta orang akan kehilangan kerja.
“Cabaran mendatang memerlukan pemimpin yang mampu menangani krisis ini dengan berani. Sayangnya kualiti tersebut tidak ada pada pentadbiran yang baru ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan