Intan Abdullah
KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa agar mencari penyelesaian bagi membantu masalah kenaikan tambang pengangkutan awam dalam keadaan kemelesetan ekonomi negara.
Demikian ujar Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Nazri Aziz.
"Semasa krisis kenaikan harga minyak dunia, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM4 bilion untuk menyelesaikan masalah tersebut, jadi sejauh manakah pencapaian yang telah diperolehi selepas suntikan kewangan tersebut khususnya selepas kenaikan surcaj sebanyak 30 peratus?" katanya pada sesi soal jawab lisan hari ini.
Menjawab persoalan tersebut, Nazri menyatakan bahawa kenaikan tambang pengangkutan awam yang diumumkan baru-baru ini seiring dengan keadaan semasa pengusaha pengangkutan awam yang kini berdepan dengan masalah kewangan bagi menampung kos-kos lain.
"Para pengusaha bukan sahaja terpaksa menanggung kos minyak, malah insuran, ansuran bulanan, gaji pemandu, kos selenggara kenderaan dan sebagainya.
"Sebab itulah kita mengekalkan kenaikan harga tambang," katanya lagi.
Meskipun begitu ujarnya, kerajaan dan para pengusaha pengangkutan awam perlu mencari jalan untuk mengurangkan perbelanjaan.
Sementara itu, Khalid Samad (PAS-Shah Alam) menempelak jawapan Nazri itu dengan mengulangi soalan yang dikemukakan Siti Zailah dengan menyatakan bahawa jawapan tersebut hanya sesuai dalam keadaan ekonomi negara berada pada kedudukan sebelum ini.
"Dalam keadaan ekonomi kita stabil, bolehlah Menteri bagi jawapan begitu," ujarnya.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberikan respons kepada soalan yang dikemukakan Khalid dengan berseloroh bahawa ianya tidak memenuhi kriteria Penunjuk Aras Pencapaian (KPI) yang dikehendaki dalam perbahasan Dewan Rakyat.
"Ini tidak termasuk dalam KPI..," ujarnya sambil disambut gelak tawa sidang Dewan. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan