Jimadie Shah Othman
(kemaskini 4.59pm)
Blog - yang sering mempertahankan seorang putera Sultan Kelantan - mendedahkan beberapa dokumen yang didakwa menunjukkan ibu Manohara Odelia Pinot pernah lari daripada kes mahkamah di Perancis.
Truth Appeared, blog yang menerbitkan siri foto peribadi Manohara dengan suaminya Tengku Muhammad Fakhry Petra sejak April, semalam menerbitkan 25 halaman dokumen satu kes di mahkamah majistret.
Satu sumber yang dekat dengan kerabat diraja itu, ketika dihubungi Malaysiakini, berkata dokumen yang didedahkan "100 peratus benar".
Dokumen-dokumen itu yang asalnya dalam bahasa Perancis, diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Pusat Bahasa Perancis di Kuala Lumpur, dipercayai dibuat baru-baru ini.
Dokumen asal bagaimanapun tidak ditunjukkan di blog tersebut dan oleh itu tidak dapat disahkan secara bebas.
Dokumen terjemahan itu menyatakan, antaranya, ibu bekas model muda itu Daisy Fajarina tidak pernah menghadiri kes tersebut dan didapati bersalah dengan hukuman penjara 18 bulan.
Beliau didakwa gagal membayar pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia bernama Shaliha Lanti, sewaktu tinggal di Nice selama tiga tahun sejak 2004.
Waran tangkap
Dokumen yang sama menyatakan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya pada 26 Jun 2007.
Blog itu juga mendedahkan beberapa siri dokumen mahkamah itu, antaranya laporan-laporan perubatan dan sosial Shaliha serta kertas pertuduhan terhadap Daisy.
Menurut dokumen itu, mahkamah daerah Grasse juga mengeluarkan perintah supaya polis mencari dan memenjarakan Daisy mengikut peruntukan undang-undang negara Eropah itu.
Suaminya ketika itu Jurgen Reiner Noack-Pinot turut didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap bekas pembantu mereka itu pada awal 2007 dan dijatuhkan hukuman empat bulan penjara.
Mahkamah juga memerintahkan Daisy dan dan Noack-Pinot membayar sebanyak 16,000 euro (RM79,600) sebagai ganti rugi terhadap Shaliha, kini berumur 25 tahun.
Shaliha sebelum itu dalam aduannya kepada polis di Perancis mendakwa menjadi mangsa penganiayaan majikannya – menyebabkan beliau sakit kepala, lengan dan bahagian bawah tubuh, perut dan pinggul, paha serta mengalami kejutan psikologi.
Laporan perubatan
Laporan perubatan Saliha yang dikemukakan kepada mahkamah mengesahkan terdapat beberapa kecederaan di tubuhnya serta menderita kejutan psikologi yang serius.
Peguam Manohara di Malaysia, Mohamed Zaini Mazlan ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu.
Manohara dan Daisy sering melemparkan dakwaan Tengku Muhammad Fakhry pernah mendera isterinya.
Bagaimanapun putera Sultan Kelantan itu menafikan semua dakwaan tersebut, termasuk yang terbaru melalui stesen televisyen republik tersebut, TVOne, semalam (foto kiri).
Dalam rakaman temubual ringkas itu, dipercayai di Malaysia, Tengku Muhammad Fakhry mempertikaikan dakwaan Manohara pernah diseterika di bahagian leher dan mengingatkan Manohara bahawa dakwaan negatif boleh menggugat peluang isterinya mendapat pekerjaan.
Kenyataan terbuka putera sultan itu kali pertama sejak dakwaan-dakwaan berat dihadapkan padanya 20 April lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan