Khamis, 23 Mei 2019

Melaka catu bekalan air jika tiada hujan sehingga 15 Jun

fazleen safina 

Pelan kontingensi tingkat paras air Empangan Durian Tunggal


MELAKA Rabu -Rakyat negeri Melaka bakal berhadapan catuan bekalan air, sekiranya negeri itu tidak menerima hujan sehingga 15 Jun depan, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata, walaupun kerajaan negeri telah melaksanakan proses pembenihan awal pada minggu lepas, hujan hanya berlaku di luar kawasan tadahan air.

Katanya, situasi itu tidak menyumbang pada peningkatan paras air di Empangan Durian Tunggal yang kini mencatatkan bacaan 37.8 peratus.

“Setakat ini, Empangan Durian Tunggal paling terjejas iaitu paras air berada pada bacaan 37.8 peratus, berbanding Empangan Jus (66.4 peratus) dan Empangan Asahan (62.5 peratus).

“Buat masa ini, ia masih belum sampai ke tahap untuk mencatu bekalan air, namun sekiranya hujan tidak turun sehingga 15 Jun depan dan usaha yang dilakukan tidak berhasil, maka catuan terpaksa dibuat,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus melakukan beberapa pelan kontingensi bagi meningkatkan paras air di Empangan Durian Tunggal, dan memastikan bekalan air di negeri itu mencukupi terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, antara langkah yang dilakukan ialah memohon bekalan air mentah tambahan daripada kerajaan negeri Johor melalui Sungai Gersik, untuk dipam ke Empangan Durian Tunggal.

Adly berkata, bekalan air di Empangan Jus juga akan dipam ke Empangan Durian Tunggal agar paras air dapat ditingkatkan, sekali gus menampung keperluan penduduk khususnya di daerah Melaka Tengah.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan negeri akan mengkaji semula model perniagaan bazar Ramadan di negeri itu bagi memastikan peniaga dapat bersaing secara sihat.

“Secara dasarnya kerajaan negeri bersikap terbuka dalam penganjuran bazar Ramadan di negeri ini dan jumlah peniaga meningkat berbanding tahun sebelum ini tetapi kita menerima pelbagai aduan, keluhan dan cadangan daripada rakyat terutama peniaga,” katanya.

Beliau berkata, lokasi penganjuran tapak bazar Ramadan dan jumlah peniaga di sesuatu kawasan juga akan dilihat kembali bagi mengurangkan impak negatif kepada peniaga khususnya daripada aspek keuntungan. -Bernama


Tiada ulasan: