Ahad, 17 Mei 2015

Tun M lancar jilid 2 buku surat beliau esok

SINAR HARIAN


Dr Mahathir Dr Mahathir
 
 
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan melancarkan Jilid 2 buku yang mengandungi surat terpilih beliau kepada para pemimpin dunia ketika menyandang jawatan itu selama 22 tahun di pejabatnya di Yayasan Perdana di Putrajaya, esok.

Buku bertajuk "Dr Mahathir's Selected Letters to World Leaders" ini merupakan susulan kepada Jilid 1 terbitan tahun 2008, yang mendapat sambutan hangat daripada pembaca hingga diulang cetak sembilan kali, kata editor buku berkenaan, Tan Sri Abdullah Ahmad.

Abdullah memberitahu Bernama hari ini bahawa buku itu, yang memuatkan 73 surat Dr Mahathir yang belum pernah disiarkan, dua surat lebih banyak daripada Jilid 1, mendasari urusan diplomasi Malaysia dan antarabangsa sepanjang tempoh 1987-2003, terutama antara Malaysia dan Singapura.

Ini termasuk surat menyurat antara Dr Mahathir dan tiga Presiden Amerika iaitu George H. Bush, Bill Clinton dan George W. Bush; tiga Perdana Menteri Britain (Margaret Thatcher, John Major dan Tony Blair); Jen Pervez Musharraf dan Benazir Bhutto (Pakistan); Presiden Iraq Saddam Hussein; pemimpin Libya  Muammar Ghaddafi; Fidel Castro dari Cuba; dan Nelson Mandela dari Afrika Selatan.

Bagaimanapun Abdullah menyifatkan surat antara Dr Mahathir dan rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Kuan Yew dan Goh Chong Tok, sebagai surat "paling mengejutkan dan paling banyak memberikan kefahaman" berikutan sejarah panjang antipati yang wujud antara kedua-dua negara.         
Dalam prolog untuk buku itu, Dr Mahathir menulis bahawa sebagai perdana menteri, beliau cuba meluaskan medan antarabangsa dan diplomasi Malaysia.

"Kedaulatan dan kemerdekaan kita perlu sentiasa dipelihara agar rakyat Malaysia memiliki lebih daripada sebuah tempat yang selesa untuk didiami dalam tatatingkat dunia.

"Dalam proses meneroka masa depan yang lebih cerah, kita tidak boleh memperkecilkan kepentingan kita kepada mana-mana kuasa, tidak kira kecil atau besar, dan jangan juga sekali-kali menjadi pak turut kepada mereka," kata beliau. - Bernama

Tiada ulasan: