KOTA BELUD - "Saya terhutang budi pada Sabah," kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
"Saya pernah berkata Sabah adalah 'simpanan tetap' BN. Bagi saya, Sabah tetap simpanan tetap BN," kata perdana menteri ketika melancarkan Projek Perumahan Rakyat Kota Belud di sini hari ini.
  
Beliau berkata Sabah mempunyai potensi besar dan BN mesti memastikan Sabah mendapat pembangunan yang seimbang sebagai menghargai jasa rakyat Sabah kepada BN.
  
Najib berkata sejak menjawat jawatan perdana menteri enam tahun lalu, beliau meluluskan banyak peruntukan dan projek besar di negeri ini kerana beliau benar-benar mahu melihat landskap Sabah terus berubah.
  
"Saya akan banyak datang melawat Sabah lagi khususnya di kawasan luar bandar. Rakyat di luar bandar cukup setia kepada UMNO dan BN. Sudah pasti kerajaan BN yang mereka (penduduk luar bandar) sokong ini akan terus bela mereka," katanya.

Najib turut kagum dengan kebolehan pemimpin yang dipilih daripada kalangan masyarakat Sabah.
  
"Ada orang nak 'cairkan' 'simpanan tetap' BN. Tetapi kita ada banyak 'panglima' (pemimpin-pemimpin dari Sabah) yang berani, tetap pendirian dan tidak goyah," katanya.
  
Beliau memuji, antaranya, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang mempunyai semangat luar biasa dalam membangkitkan kemahuan rakyat di negeri ini; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang berupaya berpidato secara intelek; dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said, yang mempunyai pemikiran yang tajam dan berani menyuarakan pendapat.
  
Beliau turut melahirkan kekaguman terhadap Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat. - Bernama