Ahad, 10 Mei 2015

Pakatan gesa MB Johor serius tangani isu GST

MALAYSIAKINI


 


Pakatan Rakyat Johor menggesa kerajaan negeri lebih serius dan tanggungjawab menangani isu perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti yang dititahkan Tuanku Sultan Johor, Khamis lalu.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong turut membidas kerajaan negeri yang didakwanya mengambil jalan pintas dengan memutuskan untuk menyerap lebih kurang RM3.19 juta dari peruntukan negeri bagi menampung kos cukai itu terhadap PBT.

"Saya mencadangkan agar kerajaan negeri Johor menggembleng usaha bersama kerajaan-kerajaan negeri yang lain bagi menyatakan pendirian bersama seterusnya diajukan kepada Majlis Kewangan Nasional berhubung isu GST yang membebankan rakyat ini.

"Jangan ambil jalan pintas. Jangan mengelak dari isu sebenar. Isu sebenarnya ialah, sistem GST perlu dihentikan segera. Rakyat menerima bebanan besar dari GST. Rakyat menjadi mangsa," kata Liew dalam satu kenyataan.

Pada Khamis lalu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa arahan perlaksanaan GST terhadap kerajaan negeri dan kerajaan tempatan "tidak masuk akal" kerana perkhidmatan kerajaan adalah tanggungjawab asas kepada rakyat.

Justeru, baginda bertitah supaya PBT di negeri itu Johor tidak mengenakan GST terhadap perkhidmatan mereka.

Dalam kenyataan itu juga, Pakatan Rakyat negeri itu menyokong dan menjunjung titah baginda itu dan yakin rakyat di negeri itu menyambut baik keprihatinan baginda ekoran bebanan yang ditanggung rakyat akibat pelaksanaan cukai itu.

Mereka juga mengambil maklum ucapan Menteri Besar Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin yang meminta pihak kastam memandang serius dan mengambil tindakan segera terhadap intipati titah Tuanku berhubung isu GST.

Mereka turut menggesa Khaled bertindak lebih tegas memastikan cukai tersebut dihentikan daripada terus membebankan rakyat.

Malah, mereka memberi tempoh sehingga 18 Mei ini - hari terakhir persidangan DUN - untuk melihat sejauh mana tindakan serius diambil oleh kerajaan negeri selaras dengan titah Tuanku Sultan.


Tiada ulasan: