Sabtu, 9 Mei 2015

Nahas helikopter di Pakistan, isteri p'jaya tinggi M'sia maut

MALAYSIAKINI


Isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datin Habibah Mahmud adalah antara enam orang yang terbunuh apabila helikopter yang dinaiki mereka terhempas di kawasan Lembah Naltar, Pakistan awal pagi tadi.

Kementerian Luar Negeri turut mengesahkan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar cedera dalam kejadian itu dan kini dirawat di Hospital Gilgit.

"Helikopter itu membawa diplomat asing dan isteri masing-masing. Mereka dalam rangka program rasmi kerajaan Pakistan.

"Dalam kejadian itu, Duta-duta Besar Norway, Belanda dan Filipina serta isteri Duta Besar Indonesia dilaporkan meninggal dunia," kata Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.

Punca kejadian masih disiasat dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad sedang berusaha mendapatkan laporan penuh berhubung nahas itu.

Kementerian Luar Negeri turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa tragedi itu.

Sementara itu, jurucakap Tentera Pakistan Mejar Jeneral Asim Bajwa turut mengesahkan nahas itu dalam laman Twitter beliau.

Beliau berkata turut berada dalam helikopter jenis MI-11 itu ialah  dua juruterbang tentera dikenali sebagai Mejar Altamash dan Mejar Faisal.

"Berdasarkan maklumat awal, dua buah helikopter mendarat dengan selamat manakala pesawat ketiga mengalami masalah teknikal ketika melakukan pendaratan.

"Tiga belas penumpang selamat namun mengalami pelbagai kecederaan. Saya berhubung dengan mereka yang berkenaan. Akan kemas kini maklumat dari lokasi kejadian," kata beliau.

Media asing dan tempatan melaporkan bahawa konvoi tiga helikopter itu membawa delegasi diplomat asing dari 37 buah negara, selain enam lagi warga Pakistan. - Bernama

Sementara itu, Reuter melaporkan enam enam orang termasuk duta Norway dan Filipina dan isteri-isteri pesuruhjaya tinggi Malaysia dan Indonesia, kata tentera.

Perdana Menteri Nawaz Sharif dalam penerbangan dengan pesawat lain ke kawasan utara pergunungan di Gilgit untuk melancarkan dua projek, apabila nahas itu berlaku. Beliau kembali ke Islamabad, berkata pejabatnya.

Jurucakap tentera Asim Bajwa dalam satu catatan Twitter berkata kedua-dua juruterbang turut terbunuh.

Beliau berkata duta Poland dan Belanda adalah antara yang cedera.

Media berkata 11 warga asing dan enam rakyat Pakistan menaiki pesawat MI-17, yang terhempas dan terbakar. - Reuters


Tiada ulasan: