KUALA LUMPUR - Sekumpulan penunjuk perasaan menuntut Tabung Haji (TH) tidak lagi terlibat dengan mana-mana perjanjian dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta membatalkan mana-mana tawaran untuk menyelamatkan 1MDB.

Selain itu mereka turut mendesak TH memohon maaf secara terbuka ke atas pembelian kontroversi 0.63 hektar tanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1MDB yang dibebani hutang berpuluh bilion ringgit tersebut.

Kumpulan itu yang diketuai Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali turut menyerahkan memorandum yang mengandungi tiga tuntutan kepada wakil TH selepas solat Jumaat, semalam.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, tindakan TH membeli tanah bernilai RM188.5 juta itu disifatkan sebagai pengkhianatan kepada rakyat Malaysia kerana wang dalam perjanjian tanah itu datang daripada simpanan hasil titik peluh mereka.

“Bagaimana sebuah syarikat milik kerajaan seperti ini terlibat dalam kontroversi itu,” katanya kepada kira-kira 150 orang yang berhimpun di perkarangan TH.

Kumpulan itu turut mendesak Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meletak jawatan dan bertanggungjawab atas perjanjian tanah itu.

“Kami akan bawa isu ini di Parlimen, di mana beliau (Abdul Azeez) perlu menjawab segala pertanyaan dan tidak dapat melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad mempersoalkan lantikan pengerusi TH yang bukan dari kalangan individu arif hal ehwal Islam serta pelaburan.

“Adakah (Abdul Azeez) yang dilantik merupakan individu berpengetahuan luas? Kita desak supaya beliau dipecat,” katanya yang disambut laungan “undur Azeez” oleh orang ramai yang berhimpun.