THE MALAYSIAN INSIDER
Susulan
keputusan Lembaga Tabung Haji (TH) menjual semula tanah yang dibeli dari
1Malaysia Development Berhad (1MDB) di projek Tun Razak Exchange (TRX),
Datuk Husam Musa bertanya sama ada langkah itu diambil semata-mata atas
nasihat perdana menteri (PM).
Naib presiden PAS itu berkata, penjelasan Pengerusi TH Datuk Seri Abdul
Azeez Abdul Rahim berhubung perkara itu pada satu sidang media pagi ini
hanya menambahkan luka dan mempermainkan rakyat Malaysia.
"Kononnya bagi menghormati perasaan pencarum, tanah berkenaan akan dijual dalam 1 atau 2 minggu ini dengan keuntungan RM5 juta.
"Katanya, atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang
diterimanya pagi ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini, sambil
mengingatkan yang Najib juga pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.
"Pada masa sama, penjualan itu diluluskan TH walaupun pada asalnya ia
enggan menjual tanah berkenaan," katanya mengulas kenyataan Azeez yang
tanah yang dibeli pada harga potongan RM188.5 juta itu akan dijual bagi
menjaga sensitiviti pendeposit TH.
Husam berkata, pengumuman Azeez itu menimbulkan banyak persoalan,
termasuk berhubung integriti TH dan kredibiliti ahli Parlimen Baling
itu.
"Bilakah mesyuarat lembaga yang meluluskan penjualan itu bersidang?
Jika sebelumnya ia enggan menjual, tetapi selepas mendapat nasihat
perdana menteri pagi ini, ia mengubah pendiriannya dengan bersetuju
menjual.
"Jika bersidang, adakah dalam tempoh sesingkat itu, 1 kertas yang
lengkap sebagai asas pertimbangan keputusan dibuat dapat disiapkan?
"Adakah dengan ‘nasihat perdana menteri’, sebuah lembaga boleh menukar keputusannya sebegitu mudah?
"Jika itu kedudukan TH, bagaimana kita boleh meyakini ia membuat
keputusan pembelian itu sebelum ini tidak semata-mata hanya atas
‘nasihat perdana menteri’?" soalnya.
Husam berkata, rakyat Malaysia kecewa dengan “penjelasan” TH hari ini
yang disifatkannya hanya satu pengesahan yang ia melaksanakan “tugas
sucinya” membayar RM188.5 juta kepada 1MDB.
Beliau dipercayai merujuk tindakan TH yang dianggap menyelamat atau “bailout” 1MDB.
"Tidak ada pembatalan transaksi, tidak ada kekesalan dan permohonan maaf.
"Bahkan tidak ada penjelasan kenapa bayaran penuh dilunaskan pada masa
perjanjian jual beli itu dimeterai dan bayaran yang begitu tinggi
diluluskan.
"Juga isu lain yang terdapat dalam dokumen yang dibocorkan," katanya
merujuk dokumen yang didedahkan sebuah blog yang dikenali sebagai "The
Benchmark".
Pada masa sama, Husam juga menulis surat terbuka kepada Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, meminta beliau
“menyelamatkan TH” sebagai menteri bertanggungjawab hal ehwal agama.
Beliau memohon Jamil mengambil langkah membatalkan transaksi antara TH
dan 1MDB tersebut, menamatkan perkhidmatan Azeez dan merombak semula
seluruh ahli lembaga dan pengurusan kanan yang terlibat dengan transaksi
itu.
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, keputusan
menjual balik tanah 1MDB itu "sangat menjengkelkan" kerana katanya, TH
perlu membatalkan pembelian tanah dan bukan menjualnya kepada pihak
lain.
"Rakyat marah kerana duit TH disalurkan kepada 1MDB yang bermasalah
apabila mereka di TH yang membuat keputusan membeli tanah daripada 1MDB
juga memegang jawatan penting dalam 1MDB.
"Menjual tanah kepada pihak lain bukanlah penyelesaian dan tidak akan dapat menutup bangkai hutang 1MDB.
"Kerana, ini bukan tindakan pembetulan, ini tindakan menutup kesilapan
tanpa memikirkan bagaimana perkara ini boleh dielak daripada berulang,"
katanya dalam satu kenyataan.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula mahu isu itu segera
dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan demi kepentingan hak rakyat.
Katanya, perdana menteri sendiri harus menjelaskan kepada semua ahli
Parlimen berhubung perkara itu dan membentangkan hasil bedah siasat
terperinci terhadap audit kewangan 1MDB.
"Kita tidak mahu rakyat tertipu lagi dengan isu 1MDB ini serta terus
menanggung beban pelbagai salah urus tadbir kewangan yang pernah berlaku
sebelum ini.
"Langkah sumbang TH dan 1MDB ini bakal mengundang malapetaka besar bagi
negara lantaran ketidakpedulian kerajaan terhadap teguran Jabatan Audit
Negara selama ini.
"Apatah lagi yang terpalit dalam isu ini ialah Tabung Haji yang selama
ini diyakini rakyat jelata untuk tabungan khas mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan