Rabu, 20 Mei 2015

Khairy mahu PAC siasat Jho Low berhubung 1MDB

THE MALAYSIAN INSIDER


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata penglibatan ahli perniagaan Low Taek Jho di dalam urus niaga syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terlalu besar untuk diabaikan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Mei, 2015. 
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata penglibatan ahli perniagaan Low Taek Jho di dalam urus niaga syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terlalu besar untuk diabaikan. – Gambar fail The Malaysian Insider



Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa ahli perniagaan Low Taek Jho disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kerana penglibatannya dalam syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), lapor The Star Online.

Beliau berkata, spekulasi awam ke atas penglibatan Low dalam skandal itu terlalu besar untuk diabaikan, sambil menambah "apa sahaja cara anda melihat isu ini, cap jari Jho Low berada pada seluruh tempat".

Khairy berkata demikian kepada PAC yang semalam berkata ia tidak mempunyai rancangan untuk memanggil Low, juga dikenali sebagai Jho Low,  terhadap skandal 1MDB "pada masa ini".


Bagaimanapun Khairy berkata, jika PAC mahu melakukan siasatan menyeluruh, ahli perniagaan, yang dikaitkan dengan pelbagai urus niaga 1MDB dan didakwa menyalurkan AS$700 juta melalui syarikat milik beliau, mesti dipanggil. Khairy berkata, beliau percaya ini adalah apa yang orang ramai harapkan juga, The Star Online memetik beliau sebagai berkata.

Semalam, ketika PAC memulakan siasatan ke atas 1MDB, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata mereka tidak melihat keperluan untuk memanggil Low dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada masa ini.

Khairy hari ini berkata beliau akan berpegang kepada penerangan Nur Jazlan "buat masa ini".
"Tetapi akhirnya mereka perlu memanggil Jho Low. Tidak boleh ada sebarang penutupan jika Jho Low tidak disoal," kata Khairy.

Laman sesawang Sarawak Report mendedahkan Low sebagai arkitek perjanjian meragukan antara 1MDB dan syarikat minyak dan gas tidak terkenal, Petro Saudi International, tetapi Low menafikan semua tuduhan terhadapnya, dan berkata beliau menjadi mangsa “putar belit ahli Umno".

Tiada ulasan: