KUALA LUMPUR - Satu laporan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dibuat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) esok.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Amidi Abdul Manan berkata, ia bagi menyiasat segala bentuk urus niaga yang dibuat oleh 1MDB dan TH.

"Kita akan buat laporan kepada SPRM untuk menyiasat kes ini. Kemungkinan ada beberapa perkara boleh disiasat. Kita akan beri peluang kepada masyarakat untuk menyuarakan pendapat bagi penambahbaikan TH," katanya  ketika ditemui pemberita di hadapan Pejabat TH, di sini ‎hari ini.

Sebelum ini, Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan pada  15 Januari lalu tampil membuat laporan kepada SPRM berhubung 1MDB.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, beliau berkata ia akan membolehkan siasatan terperinci, menyeluruh dan berterusan dilakukan badan itu berkenaan ketelusan pentadbiran serta perbelanjaan dan dana kewangan syarikat hak milik kerajaan itu.

"Kami mahu kembalikan TH ke landasan sebenar di mana kepercayaan terhadap TH dijaga dengan baik. Tidak timbul hartanah bumiputera tidak dijaga kerana banyak lagi tabung-tabung yang dapat membantu.

"TH tidak patut terlibat dengan syarikat yang bermasalah seperti 1MDB. Kalau dia beli hotel atau bas di Mekah kita boleh terima. Kalau beli hotel dekat London kita ada masalah sikit," kata Amidi lagi.