Selasa, 12 Mei 2015

Jangan sentuh duit rakyat bayar pinjaman RM3.6 bilion 1MDB, kata Rafizi

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menerima maklumat tidak rasmi yang mengatakan cagaran pinjaman yang dinyatakan untuk membayar hutang 1Malaysian Development Berhad ialah wang simpanan di BSI Singapura yang sebelum ini dilaporkan tidak wujud. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mei, 2015.Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menerima maklumat tidak rasmi yang mengatakan cagaran pinjaman yang dinyatakan untuk membayar hutang 1Malaysian Development Berhad ialah wang simpanan di BSI Singapura yang sebelum ini dilaporkan tidak wujud. – Gambar fail The Malaysian Insider.




 Rafizi Ramli memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menggunakan dana awam untuk menyelesaikan pinjaman berjumlah RM3.6 bilion oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang perlu dibayar kepada 6 bank antarabangsa diketuai Deutsche Bank.

Setiausaha agung PKR itu berkata, hutang yang berjangka masa panjang selama setahun itu, dibuat Oktober tahun lepas, perlu dibayar selewat-lewatnya September tahun ini.

"Saya cuba mengumpul maklumat tidak rasmi daripada pemberi maklumat yang bekerja di bank-bank terbabit dan daripada pasaran kewangan untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai pinjaman ini.


"Maklumat tidak rasmi yang saya dapati amat membimbangkan kerana terma pinjaman itu amat membebankan rakyat," kata ahli Parlimen Pandan itu. Rafizi berkata, maklumat yang diperolehnya menyebut, cagaran pinjaman itu ialah wang simpanan 1MDB di BSI Singapura yang sebelum ini dilaporkan tidak wujud.

"Jika cagaran ini tidak wujud, ada kemungkinan besar 1MDB perlu mendapatkan dana lain untuk menggantikan cagaran tersebut," katanya.

Rafizi pada sidang medianya berkata, pinjaman berkenaan dilaporkan di dalam majalah-majalah kewangan antarabangsa dan menarik minat perhatian pasaran kewangan antarabangsa di saat 1MDB berhadapan dengan masalah membayar hutangnya kepada bank-bank tempatan.

"Saya dimaklumkan satu surat sokongan dikeluarkan oleh Putrajaya yang membolehkan pinjaman ini diluluskan kepada 1MDB. Apa terma-terma surat sokongan itu?" soalnya.

Pemimpin muda PKR itu turut mempersoalkan kadar faedah yang dikenakan dalam tempoh setahun tersebut.

"Adakah benar kadar faedah bagi tempoh setahun adalah 11% seperti dimaklumkan kepada saya? Jika benar, kadar ini sudah mencecah kadar 'overdraft' dan menunjukkan terdesaknya 1MDB," katanya.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan, pinjaman ini adalah satu lagi "bail out" yang terpaksa ditanggung rakyat susulan hutang berkenaan perlu dibayar dalam tempoh terdekat ini.

"Sebelum ini, setiap kali 1MDB perlu membayar hutangnya, kerajaan terpaksa menyuntik wang atau satu urus niaga yang merugikan rakyat akan berlaku," katanya.

Beliau berkata, antaranya adalah pada Mac 2015 lalu, apabila Putrajaya terpaksa menyuntik RM950 juta dalam bentuk "standby credit" yang kebetulan diluluskan beberapa minggu sebelum 1MDB perlu membayar hutang.

Selain itu, pada Mei 2015, Lembaga Tabung Haji membeli hartanah di Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1MDB pada kadar untung berlipat kali ganda kepada 1MDB yang kebetulan dimuktamadkan beberapa minggu sebelum 1MDB perlu membayar hutang.

"Saya yakin jika rakyat tidak mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berlaku telus mengenai hutang RM3.6 bilion yang perlu dibayar 1MDB menjelang September ini, lebih banyak dana rakyat dan harta kerajaan akan disuntik ke dalam 1MDB untuk membayar hutang ini," katanya

Tiada ulasan: