Ahad, 17 Mei 2015

Isu Rohingya: Pendirian kerajaan undang bala

 
Mufti Perlis kesal dengan tindakan kerajaan membiarkan pelarian Rohingya kehausan dan kelaparan di tengah lautan.


drmaza,rohingya


PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin mengkritik kerajaan kerana tidak memberi perlindungan kepada pelarian Islam Rohingya yang ditindas di negara mereka.

Beliau bimbang sikap tamak dan kerakusan kerajaan yang enggan menyelamatkan saudara sesama Islam akan mengundang malapetaka besar kepada negara ini.

“Kita amat bimbang, kerakusan dan ketamakan kita ini akan mengundang bala Tuhan yang menakutkan.

Jika sebelum ini beberapa petanda bala demi bala datang kepada pentadbiran negara, atas sebab musabab yang hanya Tuhan Maha Ketahui apa yang telah berlaku dalaman mereka yang berkuasa.

“Namun, kehilangan kemanusiaan ini dibimbangi menjemput kemurkaan Tuhan di lautan dan di daratan. Pohon perlindungan Allah untuk sekalian rakyat yang tidak bersalah,” tulisnya di Facebook.

Katanya, pendirian kerajaan menghalau pelarian itu amat menyedihkan kerana sanggup melihat saudara seagama mati kehausan dan kelaparan di tengah lautan.

“Jika musibah tidak menimpa mereka, tentu mereka juga tidak bergadai nyawa membelah badai. Namun, atas ketamakan kita, bimbang rezeki kita dikongsi orang, kita halau mereka bersabung nyawa di lautan.

“Kita lupa bahawa, jika Allah kehendaki rezeki yang di tangan pun boleh hilang. Lihat sahaja 1MDB. Ke mana rezeki itu telah pergi. Mayat pesawat yang terhempas di lautan yang hampir yakin mati masih kita cari, sedangkan yang masih hidup di lautan kita cuba biarkan mati.

Di manakah kemanusiaan kita ini?”, katanya.

Asri berkata, amat memalukan apabila Malaysia yang menganjurkan pogram Selawat Perdana dengan bayaran mahal kononnya untuk membuktikan lebih Islamik namun tidak mampu membantu mereka seagama yang tertindas.

“Sedangkan negara-negara Eropah yang tidak muslim itu pun, cuba menyelamatkan pelarian di lautan mereka, kita yang kononnya sakan ‘salawat perdana’ dengan ratusan ribu harga bayaran, sanggup melihat manusia mati di lautan demikian rupa kerana bimbang rezeki kita dikongsi orang. Kemudian, kita beritahu ‘kita muslim terbaik’?,” katanya.

Beliau berkata, Aceh yang membantu pelarian Rohingya telah menyelamat maruah Islam ketika seluruh dunia senyum melihat umat Islam membiarkan saudara seagama mati.

Tiada ulasan: