Ahad, 20 April 2014

Pakatan Rakyat cadang penambaikan Escomm



HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan menghantar memorandum berhubung kelemahan dan penambahbaikan Pusat Kawalan Kawasan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akhir bulan ini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, memorandum itu akan dirangka oleh Ahli Parlimen PKR Lumut yang juga bekas pegawai tinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) Laksamana Pertama (B) Mohd ImranAbdul Hamid.

Ia adalah hasil daripada misi pencarian fakta ke Pantai Timur Sabah yang diketuai beliau dan disertai Mohd Imran, Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Jimmy Wong Sze Phin, Ahli Parlimen DAP Sandakan Stephen Wong Tien Fatt 15 April lalu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota polis dan tentera, juga orang ramai yang kami temui dalam lawatan dua hari ke Semporna dan pulau-pulau di sekitarnya.

“Mereka berhadapan dengan masalah besar dan usaha mereka dalam menjaga keselamatan timur Sabah perlu dihargai dan diiktiraf rakyat negeri dan Malaysia keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain kelemahan struktur organisasi dengan pasukan keselamatan, beliau turut menyatakan kelemahan utama Esscom yang menyebabkan badan itu gagal mencapai objektifnya.

“Esscom ditubuhkan di bawah Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013. Di bawah Peraturan 5 Sub-peraturan (1), Jawatankuasa Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszon) dipengerusikan Ketua Menteri. Sub-peraturan (4) membenarkan Ketua Menteri menubuhkan jawatankuasa yang dirasakan sesuai untuk membantu Jawatankuasa Esszon.

“Jika Esscom adalah jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Sub-peraturan (4) itu, secara asasnya ia tidak sama dengan struktur arahan tentera dan polis. Dengan kata lain, ia tiada kuasa eksekutif. Lebih mengejutkan, Peraturan itu tidak menetapkan kuasa sebenar Pengarah Esscom,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggariskan empat cadangan bagi menambahbaik fungsi Esscom agar dapat memainkan peranan dalam menjamin keselamatan di sana.

Empat langkah itu adalah;

1. Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) untuk mengkaji dan menyelesaikan masalah perundangan yang tidak menyatakan secara jelas bidang kuasa Esscom.

Esscom juga lebih sesuai digantikan dengan Jawatankuasa Bersama baru yang dipengerusikan pegawai tinggi polis, kerana ia adalah soal masalah dalam negeri.

2. Mengkaji semula strategi menghalang ancaman terhadap negara yang masih berdasarkan ancaman komunis yang menjadikan semenanjung Malaysia sebagai medan utama.

Analisis menunjukkan kekuatan polis dan tentera adalah 70 peratus di Semenanjung dan 30 peratus di Sabah dan Sarawak.

3. Menjenamakan atau menggantikan Unit Cawangan Khas (UTK) dengan unit perisikan baru yang menumpukan tugas mengumpul maklumat berhubung keselamatan negara dan jenayah, bukannya politik.

Ia berikutan pendedahan mahkamah yang menyatakan kegagalan polis menghalang insiden Lahad Datu walaupun telah mendapat maklumat awal tentang aktiviti Sultan Sulu, Datu Ismail Kiram di dalam Sabah sebelum berlakunya pencerobohan.

4. Siasatan penuh berhubung latar belakang dan identiti di seluruh negeri, ekoran Projek IC ketika pentadbiran Tun Mahathir Mohamad yang memberikan kad pengenalan kepada pendatang asing semata-mata demi mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: