Ahad, 20 April 2014

Nozula beransur pulih, belum dimaklum kematian isteri


Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar ketika menziarahi Nozula di hospital.

HARAKAHDAILY 


IPOH: Keadaan Anggota Dewan Undangan Negeri Paloh, Datuk Nozula Mat Diah yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Khamis bertambah baik dan beliau masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
  
Pengarah HRPB Datuk Dr Raja Lope Ahmad Raja Ariffin berkata Nozula berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
  
"Sebentar tadi Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) ada melawat dan Nozula sudah sedar," katanya ketika ditemui pemberita di HRPB, semalam.
  
Sementara itu, Nor Fatma Nadia, anak kepada Nozula berkata bapanya belum dimaklumkan tentang kematian ibunya.
  
"Semalam bapa telah sedar. Sebelum ini tidak sedar sebab diberikan ubat supaya boleh berehat," katanya.

Turut melawat Nozula pada kira-kira pukul 6 petang ini ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
  
Dalam kemalangan itu, Nozula, 57, mengalami kecederaan serius iaitu lebam di paru-paru selain tujuh tulang rusuknya, enam di bahagian kanan dan satu di kiri patah.
  
Kemalangan yang menimpa Nozula berlaku kira-kira 6.30 petang di Km 23, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai ketika beliau dan keluarganya dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Cheras, Kuala Lumpur.
  
Kenderaan SUV yang dipandu anak perempuannya dipercayai terbabas kerana jalan licin sebelum merempuh tebing bukit yang menyebabkan isterinya Datin Maziah Din maut. - Bernama

Tiada ulasan: