Sabtu, 19 April 2014

MP Langkawi minta maaf kepada keluarga Karpal

MALAYSIAKINI



 


MP Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad akhirnya meminta maaf kepada keluarga mendiang Karpal Singh atas jemputannya kepada orang ramai untuk 'sambut cabaran Karpal' yang tersiar pada lama Facebook beliau pada 17 April lalu.

Nawawi dua hari lalu menyiarkan keratan laporan akhbar 24 tahun lalu yang menegaskan pendirian Karpal menolak pembentukan negara Islam.

Karpal dalam keratan itu dilapor berkata "Mahu wujud negara Islam langkah mayat kami dulu".

Laman Facebook dengan nama "Dato Ir Nawawi Ahmad" itu menyiarkan keratan itu bersama status berbunyi "Siapa nak sahut cabaran Karpal Singh. Sila bagi nama".

Hari ini, Nawawi meminta maaf menerusi status Facebook miliknya.

"Saya ingin menzahirkan perasaan kesal dan sesal saya atas perkara yang berlaku dua hari lepas berhubung tulisan di laman Facebook peribadi saya berkaitan kejadian yang menimpa mendiang Karpal Singh.

"Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa kesalnya saya, dan betapa perlunya saya meminta maaf kepada keluarga mendiang YB Karpal Singh dan semua orang yang saya singgung dengan tulisan yang cuai dan sia-sia itu," status Facebook terbaru Nawawi dipetik.

Beliau bagaimana pun tidak menyatakan sama ada status kontroversi sebelum ini ditulis beliau sendiri.

"Walaupun ada beberapa orang dan pengendali mengemaskini status Facebook saya, saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perkara yang telah berlaku," katanya lagi.

Kenyataan beliau bersama seorang lagi bekas calon BN dalam pilihan raya umum lalu, Datuk Zulkifli Nordin dikritik orang ramai termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup yang menganggapnya sebagai "amat kasar".

Zulkifli menyifatkan kematian Karpal sebagai memudahkan laluan untuk undang-undang hudud dilaksanakan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mana ada orang bukan-Islam yang suka pada Islam dan Hukum Hudud ... karpal singh pun begitu juga ... tak guna marah ke dia ... sepatutnya marah kepada orang melayu Islam yang tak suka pada Islam dan tak mahu laksana Hukum Hudud ... orang ini: http://www.youtube.com/watch?v=h0oDU4FkClE
dan ini: http://www.youtube.com/watch?v=sUMkCAXDQlM