Khamis, 24 April 2014

MH370: Bahan tidak dikenali terdampar di pantai Augusta, Australia

THE MALAYSIAN INSIDER





Polis Australia Barat sedang menyiasat laporan mengenai satu bahan tidak dikenali didapati terdampar di pantai kira-kira 10 km di timur Augusta dan lebih kurang 322 km di selatan Perth.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sedang meneliti gambar bahan yang dijumpai itu untuk menentukan sama ada analisis lanjut perlu dibuat dan ia mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

ATSB juga memberi gambar berkenaan kepada pasukan penyiasat Malaysia, agensi yang menyelia operasi mencari pesawat malang itu, kata JACC dalam kenyataan terkininya pada Rabu.
Operasi mencari pada Rabu dilakukan di kawasan kira-kira 855 km di barat laut Perth.

Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia didapati melencong daripada laluan asalnya.

Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". – Bernama

Tiada ulasan: