Ahad, 13 April 2014

Menteri: AG di UK bincang isu kotak hitam

MALAYSIAKINI



 


Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Peguam Negara Tan Seri Abdul Gani Patail kini berada di UK untuk membincangkan mengenai hak ke atas kotak hitam pesawat MH370.

“Ia akan diumumkan sedikit masa lagi. Peguam Negara berada di UK sekarang untuk membincangkan perkara itu.

“Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan pakara yang terlibat sedang mengenalpasti, berdasarkan undang-undang antarabangsa dan tempatan, siapa yang berhal ke atas kotak hitam, tapi saya ingin menangani perkara itu apabila kita temui kotak hitam,” katanya.

Hishammuddin yang ditanya mengenai perkara tersebut hari ini turut memberi gambaran bahawa cadangan daripada MP pembangkang untuk mengadakan suruhanjaya siasatan diraja berhubung kejadian MH370 masih dipertimbangkan.

“Seperti yang saya nyatakan semalam, apabila Angus Houston [ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC)] mengesahkan bahawa isyarat tersebut berpunca dari kotak hitam, kami sibuk dengan jawatankuasa kementerian, panel pakar dan usaha menubuhkan jawatankuasa diraja,” katanya.

Menurut Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa, Malaysia berhak melakukan siasatan dan mendapatkan serpihan pesawat berkenaan memandangkan, pesawat Boeing 777-200ER itu didaftarkan di Malaysia dan dimiliki MAS.

Malaysia bagaimanapun telah meminta Australia untuk mengetuai pencarian pesawat itu di selatan Lautan Hindi, menurut laporan tersebut.

Hishammuddin yang telah ditanya mengenai isu tersebut sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa Malaysia akan mematuhi ketetapan ICAO.

Tiada ulasan: