Mahkamah
Rayuan di Putrajaya hari ini memerintahkan perbicaraan saman sivil
RM1.05 bilion difailkan Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) terhadap
kerajaan negeri Selangor berhubung pelarasan tarif air didengar semula
di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang lain.
Hakim Datuk Zaharah Ibrahim mempengerusikan panel tiga hakim
membenarkan permohonan peguam mewakili Syabas, Datuk Seri Gopal Sri Ram
bagi perbicaraan kes itu didengar semula di hadapan hakim lain.
Sri Ram memohon bagi perbicaraan itu, telah berlangsung selama tiga
hari pada September tahun lepas di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Abu
Bakar Jais, dibicarakan semula di hadapan hakim lain atas alasan
pesuruhjaya kehakiman itu telah memberikan pandangannya berhubung merit
kes itu semasa menolak permohonannya (Syabas) untuk meminda writ saman
itu.
Terdahulu, panel itu sebulat suara membenarkan rayuan Syabas untuk
meminda writ saman itu bagi memasukkan CIMB Investment Bank Berhad
sebagai plaintif kedua dalam saman sivil itu.
Panel itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 13 Februari tahun
ini yang menolak permohonan Syabas untuk meminda writ saman itu bagi
memasukkan CIMB Investment sebagai plaintif dalam saman itu.
Hakim Zaharah, bagaimanapun, membenarkan permohonan peguam Malik Imtiaz
Sarwar yang mewakili kerajaan negeri Selangor untuk menangguhkan
perbicaraan di Mahkamah Tinggi sementara menunggu sehingga selesai
permohonan (kerajaan negeri Selangor) bagi mendapatkan kebenaran
daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan hari ini.
Syabas memfailkan saman terhadap kerajaan negeri pada 2010 menyatakan
mengikut perjanjian bertarikh 15 Disember, 2004 antara kerajaan Malaysia
dengan kerajaan Selangor, syarikat diberi konsesi 30 tahun untuk
membeli air terawat daripada operator merawat air dan membekalkan air
terawat ke kawasan pengagihan menurut terma ditetapkan dalam perjanjian
itu.
Syabas berkata pada 31 Mac, 2008, ia menyerahkan dokumen semakan kepada
kerajaan Selangor untuk menyokong permintaannya untuk menaikkan tarif
diwartakan sebanyak RM1.39 setiap meter padu kepada tarif baharu RM1.89
setiap meter padu, bagi tempoh operasi ketiga dari 1 Januari, 2009
hingga 31 Disember, 2011.
Ia mendakwa kerajaan Selangor gagal memaklumkan Syabas sama ada ia
bersetuju untuk menaikkan tarif diwartakan itu kepada tarif
dipersetujui.
Syabas memohon perisytiharan bahawa berdasarkan penilaian sebenar
konsesi perjanjian bertarikh 15 Disember, 2004, kerajaan Selangor
berhutang dengannya RM1,054,208,382 bilion bagi tempoh antara 1 Januari
2009 dan 31 Mac, 2011.
Syabas mahu kerajaan Selangor membayar jumlah itu dalam pelarasan tarif air.
Kerajaan Selangor dalam kenyataan pembelaannya yang telah dipinda,
menyatakan Syabas tidak berhak kepada sebarang pampasan seperti dituntut
syarikat itu. – Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan