RATU SYAHADAH
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyokong Himpunan Derita Rakyat Baling 2.0 yang bakal diadakan di Baling esok.
Katanya, himpunan di Baling esok wajar bagi warga pekebun getah menzahirkan keperitan dan menuntut hak mereka berdepan kejatuhan harga komoditi yang menjadi punca rezeki mereka.
“Saya meminta rakyat Kedah, khasnya rakyat Baling turun ramai-ramai, meluahkan isi hati bahawa kami (rakyat) miskin kerana harga getah yang agak murah.
“Hal ini bukan sahaja berlaku di Baling malah diseluruh Malaysia. Dengan cara berhimpun , ianya dapat menzahirkan pada dunia kita menderita sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung himpunan itu.
Menurut Tuan Guru lagi, sewaktu di zaman Tun Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri, harga getah juga jatuh menjunam.
Namun kata beliau, kerajaan ketika itu mengambil langkah membeli getah dari pekebun pada harga yang mahal kemudiannya getah tersebut disimpan.
Apabila harga komoditi itu mula tinggi, barulah kerajaan bertindak menjualnya semula kepada pengilang, kata beliau.
Dalam pada itu beliau mengingatkan bahawa apa yang berlaku dalam negara ini termasuk tragedi MH370, kemarau sehingga ketiadaan air dan penurunan harga getah adalah sebahagian ujian dari Allah SWT.
Katanya, sebagai seorang Islam, wajar untuk kita menginsafi segala kesilapan yang dilakukan dan kembali kepada ajaran agama.
“Untuk perhimpunan di Baling pada Sabtu ini, jangan tinggal solat hajat. Supaya Allah mengangkat bala kita”, tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan