Rabu, 2 April 2014

Kedua tercorot PISA: Malaysia tiada cara lain kecuali tukar kerajaan, kata Kit Siang

OLEH DIYANA IBRAHIM


Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang hari ini menyelar Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak mengaku kelemahan sistem pendidikan negara. – Gambar fail.Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang hari ini menyelar Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak mengaku kelemahan sistem pendidikan negara. – Gambar fail.



























Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini berkata kedudukan Malaysia pada tangga ke-39 di kalangan 44 negara dalam ujian penilaian pencapaian pelajar (PISA) dunia membuktikan bahawa Malaysia tidak mempunyai cara lain menyelamatkan sistem pendidikan negara melainkan dengan penukaran tampuk pemerintahan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Gelang Patah mengulas ranking terbaru PISA dalam ujian penyelesaian kreatif itu berkata jelas menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara di Malaysia kini sedang berdepan dengan krisis yang amat besar.

"Dengan ranking terbaru yang dikeluarkan PISA kita hanya akan mendapat satu isyarat jelas bahawa sistem pendidikan negara kita berdepan dengan krisis.

"Dan sekiranya mereka masih tidak mahu mengambil sebarang pengajaran mengenai ini maka saya yakin sistem pelajaran negara ini akan terus mundur‎ dan ini tidak akan berubah sekiranya kerajaan tidak bertukar," katanya kepada The Malaysia Insider di lobi Parlimen hari ini.

Malaysia berada di tangga ke-39 dengan min skor 422 dalam penilaian pertama mengenai penyelesaian masalah kreatif bagi pelajar 15 tahun yang menduduki ujian PISA sementara negara jiran Singapura mengatasi Malaysia dengan min skor 562.

Keseluruhan min skor untuk semua negara ialah 500 dimana ujian itu dilaksanakan pada 2012 dan keputusannya dikeluarkan semalam.

Lim berkata memburukkan keadaan lagi, Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja tidak mahu mengakui kelemahan yang wujud dalam sistem pendidikan negara malah tidak memberi sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

"Kita amat kesal kerana menteri (Muhyiddin) langsung tidak mahu memberi kenyataan malah sejak dulu apabila laporan PISA kali pertama dikeluarkan tidak ada sebarang langsung reaksi diberikan beliau.

"Beliau juga tidak langsung tidak mahu mengakui bahawa terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan negara," katanya.

Katanya sekiranya kerajaan masih lagi berpegang dengan kepercayaan bahawa sistem pendidikan tidak mempunyai kelemahan maka usaha melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ‎juga akan gagal.

Malaysia pula hanya mendapat 0.9% pecahan pencapai tinggi berbanding 29.3% diperoleh Singapura. Pecahan Malaysia di bawah peratusan purata iaitu 11.4%.

Ini menunjukkan hanya seorang daripada 10 pelajar Malaysia, berusia 15 tahun, yang mampu menyelesaikan masalah paling kompleks, dibandingkan dengan seorang daripada lima pelajar di Singapura, Korea Selatan dan Jepun.

Malaysia memperolehi 29.1 dalam kadar penyelesaian bagi tugasan mengukur pemerolehan pengetahuan dan 29.3 untuk tugasan penggunaan pengetahuan sementara Singapura mendapat markah 62 dan 55.4 masing-masing bagi tugasan berkenaan, jauh lebih tinggi daripada markah purata semua negara iaitu 45.5 dan 46.4.

Selain itu, Malaysia juga mendapat keputusan yang teruk dalam penilaian PISA sebelum ini yang mengukur bagaimana pencapaian pelajar di 65 negara dalam mata pelajaran matematik, sains dan membaca.

Menurut keputusan PISA pada 2012, pelajar Malaysia hanya mendapat markah di bawah purata atau berada di tangga 52 daripada 65 negara. Malah, pelajar Vietnam berada di tangga ke-17 daripada 65 negara itu.

Hanya seminggu lalu, pakar ekonomi Bank Dunia bercakap mengenai kualiti rendah sistem pendidikan Malaysia lebih membimbangkan daripada paras hutang isi rumah rakyat negara ini.

Tiada ulasan: