Mohd Nor Izzat Mohd Johari Mohd Nor Izzat Mohd Johari


SHAH ALAM – Taklimat Penataran Penambahbaikan PBS yang dijalankan di sebuah sekolah di Pahang didakwa mengandungi maklumat berbeza.

Ketua Biro Pendidikan Gabungan NGO Islam & Melayu Malaysia (GNIMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, perkara itu dapat dijamin ekoran beliau sendiri berpeluang menghadiri dua taklimat sama pada hari yang berbeza.

“...dalam tempoh sebelum nak ditangguh itu, mereka ada buat satu taklimat kepada pentadbir, guru dan ibu bapa. Nama taklimat itu adalah Taklimat Penataran Penambahbaikan PBS.

“Saya duduk dalam dua jenis taklimat iaitu bersama pentadbir dan guru. Dua taklimat ini mereka sampaikan maklumat yang berbeza-beza. Itu saya berani jamin cakap,” katanya kepada Sinar Harian Online dalam satu temu bual eksklusif, hari ini.

Jelas beliau, perkara paling jelas yang menimbulkan persoalan adalah berhubung peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mulai tahun ini.

“Dengan pentadbir kata A, dengan guru kata B. Contohnya, dia (pemberi taklimat) bentang format PT3... sebab dia kata dah buat kajian menyeluruh maknanya format PT3 itu dah ada. Tapi bila saya soal di mana format tersebut, dia tak dapat bentangkan dan pentadbir mula bising.

“Keesokannya taklimat dengan guru, mereka kata, semua yang dibentangkan hari ini adalah baru cadangan. Semalam kata dah tetap tapi hari ini kata cadangan,” katanya yang masih tidak pasti nasib pelajar-pelajar Tingkatan 3 tahun ini, sehingga ke hari ini.

Beliau yang aktif dalam kempen Mansuh PBS sejak tahun lalu turut mendakwa bahawa taklimat tersebut mempunyai agenda tersendiri namun berakhir dengan pemberi taklimat ditekan oleh pentadbir dengan pelbagai persoalan yang tidak mampu dijawab.

“Tengok cara memang saya tahu dia dihantar oleh Putrajaya semata-mata kerana saya ada dan kononnya cuba untuk memanipulasi semuanya tapi malangnya beliau silap.

“Beliau pula yang ditekan oleh pentadbir dan ditanya persoalan-persoalan yang beliau tak dapat jawab,” katanya.

Sistem pendidikan negara, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sebelum ini menerima kritikan hebat selepas kelihatan gagal dari segi pelaksanannya.

Ekoran itu, beberapa penambahbaikan telah dilakukan pihak kementerian termasuk mengumumkan bahawa guru-guru tidak perlu lagi memasukkan data sistem PBS secara dalam talian yang dikatakan membebankan guru-guru.