Oleh Shahbudin Husin
Selepas kematian Karpal Singh dalam kemalangan jalanraya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung beberapa hari lalu, individu yang mendakwa dirinya Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zain semalam muncul di kawasan berlakunya kemalangan itu untuk melakukan ritual yang didakwanya untuk menghalau makhluk jahat yang di kawasan itu.
Dalam ritualnya sambil membawa bunga malai yang digantungkan di salah satu tiang penghadang lebuhraya itu, Raja Bomoh mendakwa, kemalangan yang menimpa keatas Karpal Singh adalah disebabkan angkara makhluk jahat di persekitaran Gua Tempurung itu.
Tambahnya, beliau hadir untuk menghalau makhluk jahat atau penunggu itu untuk mengelakkkan lebih ramai pengguna jalanraya terus diganggu dan terlibat dalam kemalangan jalanraya selepas ini.
Ternampak niat dan tujuannya memang baik tetapi jelas cara atau kaedah yang dijalankannya adalah salah. Adakah Islam menganjurkan cara demikian? Bolehkah kita percaya kemalangan semata-mata disebabkan gangguan penunggu dan mengenepikan faktor kecuaian manusia?
Adakah makhluk jahat, penunggu, hantu lebuhraya atau lebih tepatnya iblis dan syaitan dapat dihalau dengan cara yang beliau lakukan itu?
Apakah yang Raja Bonoh ini mahukan sebenarnya? Siapa yang menyuruhnya berbuat demikian, kenapa perlakuannya tidak dihalang dan macam-macam persoalan lagi muncul apabila melihat perlakuan terbaru beliau ini.
Sebelum ini, beliau telah melakukan dua kali ritual merungkai misteri kehilangan pesawat MH370 di KLIA dan kemudian apabiia diumumkan pesawat itu hilang di Lautan Hindi, Raja Bomoh itu juga dirakan melakukan ritual pencarian di sebuah kawasan tepi pantai.
Jika semasa dulu KLIA beliau membawa kelapa, tikar dan teropong buluh digunakan sebagai alat mencari MH370 yang masih misteri, dan di tepi pantai itu, buah kelapa dan teropong buluh terus menjadi alatan wajib bagi Raja Bomoh. Namun ritualnya langsung tidak membantu mencari pesawat yang hilang itu.
Tindakan Raja Bomoh itu mendapat kecaman banyak pihak, termasuk oleh Anwar Ibrahim yang membangkitkannya di Dewan Rakyat manakala tindakan Khairy Jamaluddin menegurnya pula mengundang kemarahannya sehingga beliau mengugut mahu menamparnya sepertimana beliau kononnya pernah menampar seekor buaya tidak lama dulu.
Beberapa pemimpin lain seperti Zahid Hamidi dan Shahidan Kassim juga menegur perbuatan Raja Bomoh, walaupun kemudian didedahkan bahawa kedua-dua pemimpin itu pernah dipakaikan selempang silat oleh Raja Bomoh beberapa tahun sebelum ini.
Raja Bomoh yang terlibat dalam bidang perbomohan ini sebenarnya adalah guru silat gayong sejak sekian lama, bahkan pernah mengadakan majlis penganugerahan selempang yang dihadiri oleh beberapa VVIP. Selain itu beliau juga terlibat dalam bidang perbomohan. Wajah dan iklan perubatannya sering muncul dalam beberapa akhbar tabloid sebelum ini.
Tetapi di awal tahun 80an dulu, ketika di Teluk Intan, ilmu persilatannya banyak dipertikaikan oleh orangramai dan beliau juga pernah ditampar ketika itu. Dalam kejadian lain pula, beliau juga pernah dibelasah sehingga terdampar di dalam longkang di Teluk Intan akibat masalah lain yang diwujudkannya.
Sejak itu beliau lama menghilang dah kemudian lebih popolar di Kuala Lumpur dengan acara perbomohan dan mengadakan majlis-majlis anugerah persilatan atau perhimpunan anak-anak muridnya sambil dihadiri oleh VVIP tertentu.
Dilaporkan juga sejak 2002 lagi, JAWI telah mengisytiharkan amalan perbomohan yang dijalankannya adalah bertentangan dengan Islam, namun beliau tidak pernah ditangkap atas kesalahan itu.
Berlakunya insiden kehilangan MH370 merancakkan kembali kemunculannya di tempat awam, walaupun tidak diketahui siapa yang menyuruhnya berbuat demikian. Dalam pencarian MH370, rasanya tiada sesiapa yang memintanya melakukan ritual di KLIA dan tepi pantai itu walaupun beliau didakwa menyebut nama seseorang VVIP yang memintanya berbuat demikian.
Begitu juga, selepas kematian Karpal Singh berhampiran Gua Tempurung, juga rasanya tiada mana-mana pihak yang tergamak memintanya melakukan ritual menghalau penunggu itu, apatah lagi semua perlakuan atau ritual yang dilakukannya itu amat memalukan sesiapa juga yang berfikiran waras menyaksikannya. Nampak lawak dan bodoh.
Sudahlah bertentangan dengan akal yang waras dan pemikiran logik, ia juga seperti menghina Islam sendiri. Apakah amalan Islam begitu hina dan kolot?
Dalam hal ini, oleh kerana JAWI dikatakan sudah pernah mengisytiharkan amalannya salah dan bertentangan dengan Islam, JAWI atau mana-mana pejabat agama lain tidak seharusnya sekadar menjadi penonton saja kepada perlakuan beliau itu. Bertindaklah segera untuk mengelakkan lebih banyak kekeliruan dan kejadian yang memalukan agama.
Meskipun Raja Bomoh ini sudah berusia lebih 80 tahun, pejabat agama tidak harus ada simpati atau helah untuk tidak menahannya. Jika Kassim Ahmad yang didapati mengeluarkan pandangan anti hadis masih boleh ditahan dan bakal didakwa dalam usianya yang juga lebih 80 tahun, biar kurang disenangi oleh Mahathir Mohamad, tiada alasan juga untuk tidak bertindak sama terhadap Raja Bomoh yang lebih menyeleweng dan memalukan agama ini.
Jika dibiarkan, tidak mustahil nanti apabila berlaku saja sesuatu kejadian dalam negara, maka akan muncullah Raja Bomoh ini dengan segala ritual dan peralatannya yang pelil-pelik. Sudahlah kita di negara ini dipelikkan dengan perangai Zulkifli Noordin dan Nawawi Ahmad, Ahli Parlimen Langkawi (nasih baik sudah meminta maaf) yang mencemar dan menghodohkan wajah Islam seolah-olah kematian bukan Islam boleh dipermain dan dihina, perlakuan Raja Bomoh ini jika dibiarkan akan mencacatkan lagi wajah Islam di negara ini dan di mata bukan Islam.
Kepada Jamil Khir Baharom, menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal agama Islam serta jabatan agama seluruh negara, segeralah banteras kekotoran dan karut-marut ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan