Rabu, 9 April 2014

Isu rampasan Alkitab: MB Selangor perlu jumpa Peguam Negara untuk segera selesaikan masalah


Gobind



KUALA LUMPUR: DAP hari ini menyarankan Menteri Besar (MB) Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim supaya menemui Peguam Negara (AG) Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menyelesaikan segera masalah berhubung serbuan dan rampasan terhadap Persatuan Alkitab Malaysia.

Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo berpandangan bahawa Khalid tidak harus lepas tangan dengan hanya merujuk permasalahan itu ke bawah bidang kuasa Gani kerana isu berkenaan berlaku dalam negeri Selangor dan membabitkan agensi penguatkuasaan negeri itu.

“Pada saya, benar respons MB yang mengatakan perkara terbabit berada di bawah bidang kuasa AG, memandangkan ia melibatkan penyiasatan yang sedang berjalan.

“Namun, mengambil kira sifat permasalahan dan kebimbangan lain yang berbangkit, MB sepatutnya pergi bertemu dengan AG bagi mendapatkan jawapan berkaitan siasatan,” ujar Gobind.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ketua Biro Undang-undang DAP itu turut menggesa Gani supaya memberi penjelasan tentang kelewatan siasatan kes tersebut.

Menurut beliau, Gani tidak harus berdiam diri dalam isu berkenaan yang jelas telah menimbulkan kebimbangan besar di kalangan masyarakat.

“Banyak orang telah membahaskan tentang keperluan dan kewajaran tindakan merampas serta menyita Alkitab.

“Beliau tentu sedar tentang keadaan sekarang yang sensitif dan memahami bahawa kes sebegini perlu ditangani dengan segera, tanpa lengah,” tegas Gobind. -Roketkini.com

Tiada ulasan: