Rabu, 9 April 2014

Untuk Makluman Shahidan Kassim, Tindakan Musa Hitam Bukan Membuka Aib Namanya

shahbudindotcom


Dalam usaha mempertahankan Mahathir Mohamad dan mengelakkannya daripada dijadikan bahan kecaman berikutan pendedahan Musa Hitam bahawa bekas Perdana Menteri itu sebenarnya berada di dalam negara ketika berlakunya tragedi Memali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim mengingatkan bahawa Islam melarang umatnya membuka aib orang lain.

Katanya, Islam menggalakkan umatnya supaya menutup aib orang lain dan sesiapa yang melanggarnya dianggap berdosa.

Dari segi moral, tutup aib orang dan Allah akan tutup aibnya di akhirat kelak. Saya ingat kalau hebat macam mana sekali pun, sebagai orang Islam elakkan daripada dedahkan aib orang dan sebagainya. Janganlah kebebasan bercakap mengurangkan pahala kita, demikian katanya di Parlimen.

Beliau memberi jawapan secara umum dan bersandarkan etika Islam itu ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pas Sepang, Mohamad Hanipa Maidin yang meminta beliau menjelaskan sama ada maklumat baru yang didedahkan oleh Musa Hitam berkaitan peristiwa Memali dan kenyataannya bahawa Mahathir berada di dalam negara dan bukan di China seperti tanggapan ramai sebelum ini, sebagai suatu kebocoran maklumat.

Kemudian dari itu, Shahidan juga menegaskan, jika bekas timbalan perdana menteri atau menteri, mereka tahu risiko melanggar Akta Rahsia Rasmi, ada hukumannya.

Penjelasan Shahidan tentang membuka aib orang lain dan hukumnya disisi agama Islam memang sesuatu yang benar. Rasanya semua orang Islam tahu perkara itu kerana kita memang sering diingatkan mengenainya sejak remaja lagi.

Cumanya, tindakan Musa mendedahkan di mana Mahathir berada ketika peristiwa Memali, meskipun kita sebelum ini diberitahu bahawa ketika itu beliau berada di China, bukanlah suatu perbuatan mendedahkan aib Mahathir. Tindakan Musa lebih merupakan suatu pencerahan dan menceritakan kebenaran kerana bersama dakwaannya itu, beliau juga tampil dengan bukti-buktinya sekali.

Lebih tepatnya, Musa hanya ingin membersihkan namanya kerana selama hampir 30 ini hanya beliau yang seolah-olah dipertanggungjawabkan atas kejadian Memali itu semata-mata kerana kononnya ketika itu Perdana Menteri tiada dalam negara dan berada di China.

Perbuatan mendedahkan aib ialah seperti menceritakan keburukan orang lain sedangkan aib seseorang itu tidak wajar didedahkan. Seperti dalam kes liwat dan video seks yang dikatakan membabitkan Anwar Ibrahim misalnya, pendedahan secara besar-besaran isu membabitkan beliau dengan mengusung tilam selama berhari-hari ke mahkamah tetapi kemudian tidak dipakai pun sebagai bahan bukti dan penyebaran videonya, itulah yang dinamakan mendedahkan aib orang lain.

Begitu juga penyebaran video dan rakaman suara mengenai pemimppin Pas, itu juga dikira mendedahkan aib orang lain. Banyak lagi contoh tentang mendedahkan aib ini sebenarnya, ia berlaku di kalangan pemimpin kerajaan dan juga pembangkang. Namun aib yang dimaksudkan dan dilarang oleh agama mendedahkannya sebenarnya lebih bersifat perbuatan peribadi seseorang yang mana ia menjadi perhitungan antara individu terbabit dengan Tuhannya.

Tetapi mendedahkan keborosan pemimpin berbelanja, hobinya suka membeli perhiasan mewah atau seumpamanya tidak boleh dikategorikan sebagai mendedahkan aib orang lain kerana sebagai pemimpin, seseorang itu dan keluarganya mempunyai tanggungjawab kepada rakyat dan dianggap tidak berhati perut jika mengamalkan gaya hidup mewah sedangkan masih ramai rakyatnya yang miskin dan susah.

Pendedahan tentang perilaku yang seperti itu lebih merupakan peringatan.

Pendedahan Musa tidak menjatuhkan aib Mahathir kerana sama ada beliau berada di China atau dalam negara bukanlah sesuatu yang mengaibkan atau bersifat peribadi. Dalam hal ini Shahidan tidak perlu terasa bahawa pendedahan Musa itu sesuatu yang mengaibkan Mahathir.

Ia lebih merupakan kebenaran yang disembunyikan. Jika kerajaan mempunyai bukti sama ada menyokong kenyataan Musa atau memihak kepada tanggapan sebelum ini yang mengatakan Mahathir berada di China, menjadi tanggungjawab kerajaan mendedahkannya kepada umum.

Bahkan, jika kerajaan mempunyai bukti tetapi tidak mahu mendedahkannya semata-mata kerana ingin menjaga hati atau nama seseorang pemimpin itu, ia lebih dianggap tindakan yang tidak bertangungjawab kerana menyembunyikan kebenaran sedangkan paksi kehidupan adalah kebenaran.

Sebelum Shahidan mengingatkan tentang balasan mendedahkan aib orang lain ini, ada baiknya beliau menujukan perkara itu kepada UMNO dan kerajaan sendiri kerana sepanjang rekodnya, mendedahkan aib ini bukan saja dilakukan oleh para pemimpin dan medianya untuk menyerang musuh-musuh daripada parti pembangkang tetapi juga merupakan senjata untuk menjatuhkan pemimpinnya sendiri yang dianggap musuh dan tidak disenangi.

1 ulasan:

zamy berkata...

usah dilayan shahidan yg memang kaki bodek tahap 4 nie.....perangai bodeknyer boleh dianggapkan penyakit kanser yg menyerang otak dier sehingga gagal berfungsi......