Rabu, 9 April 2014

Memali: Mahathir patut sokong Suruhanjaya Siasatan Diraja, jika benar tidak bersalah


lks kajang



KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad patut menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan Memali jika benar beliau tidak bersalah dalam tragedi itu.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang RCI perlu ditubuhkan untuk mencungkil kebenaran di sebalik tragedi Memali, terutama berikutan pendedahan terbaru bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam.

Pada 27 Mac lalu, Tun Musa mendedahkan bahawa Mahathir sebenarnya berada di Kuala Lumpur semasa kejadian pembunuhan 29 tahun lalu di Kampung Memali, Kedah.

“Sudah lebih 20 tahun kebenaran di sebalik pembunuhan 18 orang individu dalam tragedi Memali masih tidak terjawab. Keluarga mangsa sehingga kini masih dihantui peristiwa pada 19 November 1985 itu, jadi RCI sangat diperlukan.

“Adakah Mahathir telah membatalkan arahan Musa supaya menyuruh polis mengelakkan keganasan dan pertumpahan darah dalam penangkapan Ibrahim Libya? Jika tidak, beliau harus menyokong RCI.
“Rakyat berhak mengetahui punca sebenar di sebalik kematian Ibrahim Libya bersama 13 penduduk kampung dan empat anggota polis,” kata beliau.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, selain untuk mengetahui punca tragedi dan perkara sebenar yang berlaku di Memali, RCI juga perlu ditubuhkan untuk memastikan sama ada peristiwa itu telah turut menyumbang kepada terjejasnya integriti, profesionalisme, dan kebebasan institusi negara seperti polis apabila ia terpaksa menerima arahan operasi daripada ahli-ahli politik seperti Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Dalam tragedi Memali, kira-kira 3,000 anggota keselamatan mengepung Kampung Memali di Baling, Kedah, untuk menangkap Ibrahim Mahmud, atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mahathir selama ini menafikan sebarang perkaitan dengan tragedi berdarah tersebut dan mendakwa beliau berada di China semasa kejadian. – Roketkini.com

Tiada ulasan: