Jumaat, 4 April 2014

Hayat bateri berkurangan, kotak hitam MH370 terus dicari

 
HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Dengan hayat bateri kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 tinggal dua hari lagi, pasukan pelbagai negara meneruskan usaha pencarian mereka pada Jumaat di kawasan seluas  217,000 kilometer persegi, yang terletak kira-kira 1,700 kilometer di barat laut Perth, Australia.
  
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) hari ini menyatakan sebanyak 10 pesawat tentera, empat pesawat awam dan sembilan kapal dikerahkan untuk membantu pencarian pesawat itu hari ini.

"Pencarian hari ini memberi tumpuan kepada tiga kawasan dalam sekitar yang sama. Pesawat pertama akan berlepas ke kawasan pencarian pada 6 pagi Waktu Standard Barat," kata JACC dalam satu kenyataan di sini.

JACC dilancarkan pada 1 April lepas bagi menyelaraskan pencarian pesawat MH370, yang hilang sejak 28 hari lepas, di selatan Lautan Hindi.
  
Menurut kenyataan itu, sejumlah 26 sukarelawan Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) dari Australia Barat, New South Wales dan Victoria bertugas sebagai pemerhati udara dalam tiga pesawat awam itu. - Bernama

Tiada ulasan: