Azmin Ali Azmin Ali


SHAH ALAM - Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali bimbang kerajaan Pusat membuli Selangor dalam kerjasama kedua-dua pihak berkenaan berhubung Perjanjian Awal (Heads of Agreement) usaha penstrukturan industri air.

Beliau menzahirkan kebimbingannya dengan menggesa kerajaan Selangor memberi jaminan bahawa Perjanjian Awal yang bakal ditandatangani dengan Kerajaan Persekutuan tidak terikat Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menurutnya, ini kerana isi kandungan yang didakwanya sehingga kini berkenaan pengambilalihan penstrukturan air di negeri itu masih belum didedahkan kepada wakil rakyat juga rakyat perlu didedahkan demi prinsip keterbukaan dan ketelusan parti itu.

"PR sering berpegang kepada prinsip keterbukaan dan ketelusan sebelum perjanjian ini ditandatangani kerajaan negeri mendesak memasukkan  pengakuan bahawa perjanjian ini tidak akan terikat OSA.

"Persetujuan ini perlu dicapai terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut dan ia mesti ditulis dan dipersetujui supaya OSA tidak digunapakai dalam perjanjian yang akan ditandatangani beberapa hari akan datang," katanya ketika perbahasan menjunjung titah Sultan Selangor.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Selangor yang merahsiakan tindakan lanjutan itu kepada umum termasuk barisan wakil rakyat yang hanya diketahuinya daripada kerajaan Persekutuan di sidang Parlimen baru-baru ini.

Tindakan ini hanya akan mencetuskan spekulasi seperti mana yang berlaku ketika kerajaan negeri itu menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) baru-baru ini yang akhirnya mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk ahli PKR sendiri.

"Saya ingin mendapat penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung status pengambilalihan air. Apa yg kita dimaklumkan di perbahasan di Parlimen kerajaan Persekutuan akan menandatangani Heads of Agreement dalam beberapa hari akan datang.

"Apakah perkara ini benar kerajaan Persekutuan akan menandatangani dengan kerajaan negeri, kerana sehingga petang ini pimpinan PR mahupun ahli-ahli Yang Berhormat sama ada PR mahupun BN belum dapat melihat isi kandungan perjanjian yang dimaksudkan," katanya.

Beliau merayu ada baiknya kandungan perjanjian diteliti terlebih dahulu dan dibentangkan di Dewan secara terbuka dan telus kerana hanya melibatkan kepentingan rakyat.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar isi kandungan perjanjian itu sebelum ditandatangani dibentang di Sidang Dun, kali ini.

Kerajaan Persekutuan terbaru telah bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Awal dengan kerajaan Selangor yang mengandungi maklumat lebih menyeluruh dan terperinci mengenai penstrukturan semula industri air Selangor dalam masa yang terdekat.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air  (KeTTHA) bakal mewakili Kerajaan Persekutuan manakala Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mewakili Kerajaan Selangor.