Roketkini.com
YONG PENG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sepatutnya lebih mengutamakan usaha memerangi rasuah, terutama rasuah besar yang membabitkan ‘ikan jerung’ bukannya ‘ikan bilis’ jika mahu kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International (TI) lebih baik.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata adalah lebih baik Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan kursus mengenai rasuah terlebih dahulu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kalangan Menteri Kabinet dan pegawai tinggi kerajaan berbanding kepada Ahli Parlimen.
Katanya, SPRM dan Pejabat Peguam Negara sepatutnya lebih tahu punca utama berlakunya rasuah besar berbanding yang membabitkan golongan bawahan yang tidak membabitkan jutaan ringgit.
Sehubungan itu, Kit Siang membidas cadangan SPRM dan Pejabat Peguam Negara untuk mengadakan kursus mengenai rasuah untuk Ahli Parlimen tahun depan.
Pengarah Pemandu, D Ravindran yang bertanggungjawab terhadap bahagian pencegahan rasuah bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam kenyataannya berkata, Pelan Transformasi Kerajaan 2.0 (GTP 2.0) adalah komitmen Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamad dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Ahli Parlimen Ipoh Timur ketika berucap di majlis makan malam “Ubah” anjuran DAP Yong Peng, Johor, semalam, berkata, SPRM tidak sepatutnya mensasar kumpulan yang salah dan mereka sepatutnya tahu di mana keutamaan dalam membanteras rasuah, terutama rasuah besar.
“Biar saya beritahu SPRM dan Jabatan Peguam Negara bahawa keutamaan yang mendesak dalam membanteras rasuah di Malaysia adalah mengadakan kursus kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri terutamanya di Sarawak dan Sabah serta pegawai tinggi kerajaan termasuk Peguam Negara sendiri sekiranya Malaysia benar-benar serius mahu membanteras “rasuah besar”.
“Ini kerana ramai rakyat tidak tahu yang mana betul atau salah kerana banyak dakwaan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah terhadap pemimpin politik belum diberi jawapan memuaskan, termasuk skandal “sumbangan politik kepada UMNO Sabah” berjumlah RM40 juta membabitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan kekayaan luar biasa keluarga Tan Sri Taib Mahmud berjumlah RM64 bilion selepas 30 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak seperti yang didakwa Bruno Manser Foundation baru-baru ini.
Sehubungan itu, Kit Siang mencabar SPRM dan Jabatan Peguam Negara mengadakan kursus bukan saja mengenai bagaimana mengelak rasuah kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri terutamanya di Sarawak dan Sabah serta pegawai tinggi kerajaan, tetapi merangkumi mengenai tanggungjawab mereka menjelaskan apabila dakwaan rasuah yang serius dibuat secara terbuka ke atas mereka, termasuklah membersihkan nama mereka dan memulihkan reputasi mereka di mahkamah. Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan