Isnin, 3 Disember 2012

SPR: Pengundi luar negara tetap dibenarkan walaupun Dewan Rakyat sudah tamat bersidang


KUALA LUMPUR — Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara akan dibenarkan mengundi melalui pos, dan akan dikuatkuasakan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang, walaupun Dewan Rakyat sudah tamat bersidang pada 29 November 2012 lalu, kata setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruddin Mohammed Baria.

“Walaupun Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat telah tamat bersidang pada 29 November 2012 dan peraturan itu tidak sempat dibentangkan, ini tidak bermakna peraturan itu tidak boleh dikuatkuasakan bagi dilaksanakan dalam PRU Ke-13 nanti.

“SPR akan memastikan tarikh kuat kuasa Peraturan itu ditetapkan pada tarikh yang akan membolehkan Peraturan itu diguna pakai pada PRU Ke-13.

“Dengan berkuatkuasanya Peraturan itu nanti, warganegara Malaysia ini akan layak untuk mengundi melalui pos jika memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh SPR,” kata Kamaruddin dalam kenyataan media hari ini.

Kamaruddin berkata, Pembentangan Peraturan itu di dalam Dewan Rakyat menurut seksyen 17 Akta Pilihan Raya 1958 adalah kehendak undang-undang setelah urusan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, penetapan tarikh kuat kuasa dan pewartaan Peraturan itu dapat diselesaikan.

“Setelah perkara itu disiapkan, barulah SPR boleh memuktamadkan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

“Setelah peraturan itu dimuktamadkan, SPR akan menetapkan tarikh kuat kuasanya dan Peraturan itu akan dikemukakan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong dan peraturan itu akan diwartakan dan barulah dibentangkan di dalam Dewan Rakyat,” kata Kamaruddin

Kamaruddin berkata, SPR sedang memuktamadkan penetapan dasar, perancangan logistik, tenaga kerja dan urusan peruntukan kewangan bagi membolehkan kemudahan ini dilaksanakan dengan berkesan.

Sebelum ini peraturan pilihan raya mengatakan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 pula menetapkan bahawa mana-mana warganegara yang telah mendaftar sebagai pemilih berhak untuk mengundi secara pos jika mereka tergolong di dalam salah satu daripada kategori pengundi tidak hadir seperti anggota ATM sama ada suami atau isteri, pegawai kerajaan yang berkhidmat di luar negara, pelajar-pelajar luar negara, pasukan polis dan anggota SPR yang dilantik mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Pilihan raya ke-13 akan dilangsungkan selewat-lewatnya April tahun hadapan selepas mandat kerajaan sekarang tamat.

Tiada ulasan: