Rabu, 12 Disember 2012

SPR: Pegawai tidak boleh aktif dalam parti politik

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Tan Sri Abdul Aziz Yusof

KUALA LUMPUR - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menasihatkan Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Sabah untuk meletakkan jawatan ekoran penglibatannya dalam parti politik dan turut memegang jawatan penting dalam organisasi berkenaan.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa pegawai-pegawai tidak boleh aktif dalam parti politik dan memegang jawatan.

Sehubungan itu kata Aziz, pihaknya akan mengumpulkan maklumat berhubung kes tersebut dan akan mengambil tindakan mengikut garis panduan dan perundangan yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Kita kena lihat lah apa sebenarnya (kes ini). Kita kena lihat betul-betul, jangan silap ambil tindakan kepada pegawai kerajaan, dia boleh bawa kita ke mahkamah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Dewan Pemuda Pas Pusat semalam memberikan kata dua kepada Ketua Penerangan Umno Kinabatangan yang juga seorang pegawai SPR, Aksyah Nasrah untuk memilih sama ada meneruskan khidmat sebagai pegawai SPR atau mengekalkan jawatan dalam Umno.

"Bagaimana SPR boleh bagi jaminan dia boleh melakukan tugas secara profesional?

"Sebagai contoh, dalam perlawanan bola sepak, pengadil itu menyokong salah satu pasukan. Bagaimana penonton nak percayakan pengadil tersebut?" kata  Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, pegawai kerajaan yang aktif dan memegang jawatan dalam parti politik sememangnya boleh dikenakan tindakan perundangan.  

"Saya baru difahamkan dia ini pegawai. Bila pegawai dia tidak boleh aktif dalam parti-parti politik, maknanya tidak boleh memegang jawatanlah. 

"Dalam kes seperti ini kita akan lihat secara terperinci apa sebenarnya yang terjadi kepada pegawai berkenaan dan kita akan siasat dulu," jelas Aziz.

Ditanya berhubung tindakan DPPP yang akan mendedahkan lebih banyak berkenaan kes itu jika tindakan tidak diambil, Aziz berkata, pihaknya tidak mahu terburu-buru dan akan mengikut undang-undang sebenar dalam mengambil apa jua tindakan ke atas Aksyah.

Tiada ulasan: