Isnin, 17 Disember 2012

Siapa nak buat huru-hara bila kalah PRU13?

Harakahdaily,


PARIT: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengulangi pertanyaan siapakah yang mahu membuat huru-hara apabila tewas dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.
Sehubungan itu, beliau menolak tuduhan pemimpin Umno BN kononnya akan berlaku peristiwa 13 Mei sekiranya parti itu kalah pada PRU13.

“Siapa nak buat huru-hara?

“Mereka nak buat huru-hara, peristiwa 13 Mei bila Umno kalah teruk (PRU13),” ujarnya ketika berucap di hadapan kira-kira 20,000 hadirin pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Perak di padang SEDC, Bandar Seri Iskandar, malam tadi.

Ekoran itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, PAS bukan sahaja menjalin hubungan dengan parti politik bahkan badan bukan kerajaan untuk mencapai kejayaan pada PRU13 nanti.

Walaupun padang basah ekoran hujan yang turun sekitar jam 9.30 malam, namun para hadirin terus bertambah mengikuti ucapan pemimpin Pakatan Rakyat sehingga akhir majlis.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengingatkan rakyat supaya beristiqamah untuk melakukan perubahan pada PRU13.

Katanya, Pakatan Rakyat berusaha untuk menerajui Putrajaya bukan kerana kepentingan individu sebaliknya untuk menjaga kebajikan rakyat seperti pelajar, petani dan pemandu teksi.

Tiada ulasan: