Ahad, 9 Disember 2012

Seminar Antara Budaya Matikan Taktik 'Adu Domba' BN

Editor Buletin

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita10/seminar%20antara%20budaya%20dtitm.jpgSeminar Antara Budaya Masyarakat Malaysia adalah satu inisiatif Lajnah Penerangan PAS Pusat untuk memberi penerangan mengenai sensitiviti budaya antara masyarakat bagi mematikan taktik pihak tidak bertanggungjawab, suka melaga-lagakan antara kaum untuk keuntungan politik.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata seminar itu adalah medan untuk berterus-terang dan memahami budaya pelbagai kaum dan masyarakat di Malaysia.

Turut bersama dalam seminar ini ialah Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Hu Pang Chow dan timbalan Bala Subramaniam, AJK DHPP negeri-negeri dan wilayah, semua ketua penerangan PAS kawasan, ketua Lajnah Perpaduan Nasional negeri dan kawasan.

“Seminar ini adalah bertujuan untuk menghilangkan ketakutan pada 13 Mei. Untuk memahami budaya masyarakat Melayu Islam dan bukan Melayu di dalam negara dan memahami pendekatan berkesan dalam PRU berdasarkan kepelbagaian etnik dan masyarakat di Malaysia,” kata Tuan Ibrahim dalam ucapan pembukaan majlis.

Tuan Ibrahim juga menyarankan agar isu-isu PRU ditumpukan pada perkara-perkara bersifat kepentingan umum seperti skandal NFC, PKFZ dan penyenaraian Felda Global Venture Holding.

Seminar bermula pada jam 9 pagi tadi dengan kehadiran memberangsangkan, dengan hampir 200 hadirin di Hotel Goldcoast Klang.

Antara pembentang kertas utama pagi ini Prof UKM Dr Sufian Husein. Beliau membentangkan kertas bertajuk “Memahami budaya masyarakat Melayu Islam dalam konteks pemikiran politik di Malaysia.”

Kertas kerja kedua bertajuk “Peranan penerangan dalam konteks mendekati Melayu dan bukan Melayu dalam PRU” pula akan dibentangkan Tuan Ibrahim, bekas editor Merdeka Review Lim Hong Siang dan Kaunselor Berdaftar UPM A Rajaretinam.

Seminar itu ditutup oleh Exco pendidikan Selangor Dr Halimah Ali pada jam 2 petang.

Tiada ulasan: