Isnin, 3 Disember 2012

Selangor Sasar 2,500 Keluarga Dapat Bantuan Tadika Tahun Depan




PETALING JAYA : Kerajaan Negeri mensasarkan penyertaan 2,500 keluarga dalam Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) pada tahun depan di seluruh negeri dengan peruntukan dana RM 3 juta.

Setakat ini, skim tersebut mendapat sambutan yang menggalakan dengan penyertaan 1,500 keluarga dalam lima bulan sejak ia dilancarkan Julai lalu kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

“Tunas adalah langkah bagi membantu ibu bapa (berpendapatan rendah) dengan setiap keluarga mendapat bantuan RM 50 sebulan menerusi pusat asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor,” Dr Halimah berkata.

Skim tersebut telah membantu ibubapa seperti Rashidi Hashim, 34, seorang operator pengeluaran dari Taman Medan
.
Dengan bantuann itu beliau sekarang mampu menghantar anaknya Muhammad Izwan Muiz, enam tahun ke Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) AlRaudhah di Taman Datuk Haron di sini.

“Saya gembira dengan langkah ini yang membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dan rakyat mendapat kebaikan dari program dijalankan serta pembelaan dari segi kewangan,” katanya.

Beliau ditemui di Mini Karnival Jelajah Jejak Tunas Selangor 2012/2013 di Dataran Anak Muda PJS1/25, Taman Medan di sini hari ini yang dirasmikan Dr Halimah.

Skim di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) ini terbuka kepada setiap keluarga yang berpendapatan isi rumah di bawah RM 1,500 sebulan.

“Dalam keadaan sekarang memang diakui Kementerian Pelajaran bahawa ramai kalangan ibu bapa di negara ini yang tidak menghantar anak mereka ke pusat asuhan kanak-kanak,” Dr Halimah berkata.



“Kajian dari seluruh dunia mendapati pendidikan bagi anak-anak di bawah enam tahun adalah kritikal,” Dr Halimah di dalam ucapannya.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim dan Timbalan Speaker  Dewan Negeri Selangor (DNS) merangkap Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Tiada ulasan: