Oleh Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR: Himpunan sejuta rakyat akan diadakan di Stadium Merdeka pada 12 Januari bermula 2 hingga 5 petang sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), umum pengarah program, Mohamad Sabu.
Katanya, ia sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu rakyat berhimpun di stadium jika ingin menyatakan sebarang tuntutan terhadap kerajaan.
Saranan tersebut dinyatakan Najib sebelum Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan perhimpunan pada 28 April lalu.
“Kita akan mohon terus pada (pentadbiran) Stadium Merdeka (untuk berhimpun) atas nama Sasterawan Negara,” jelasnya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor hari ini, tanpa menamakan sasterawan tersebut.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, HKR akan menggunakan empat warna tema – kuning mewakili tuntutan Bersih, jingga bagi tuntutan peneroka Felda, hijau bagi kelestarian alam sekitar dan merah bagi tuntutan negeri-negeri bagi Royalti minyak.
“Semua organisasi, badan NGO, parti politik dan siapa yang ‘marah’ pada kerajaan sila hadir,” kata Mohamad mengalu-alukan semua pihak menjayakan himpunan tersebut.
Ditanya jika permohonan himpunan di Stadium Merdeka ditolak, Mohamad berkata, ia tetap akan diadakan di kawasan sekitarnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Hishamuddin Rais memaklumkan himpunan pada hari yang sama turut diadakan di Sabah, Sarawak termasuk luar negara.
“Himpunan juga akan diadakan di Sabah. Sarawak pula di Miri dan Kuching. Manakala di luar negara seperti New York, London, Hong Kong, Perth dan Melbourne.
“Kita alu-alukan kawan-kawan di seluruh dunia sama-sama terlibat untuk kebangkitan ini,” jelas Hishamuddin.
Turut hadir, wakil NGO penyokong himpunan antaranya, Ishak Surin mewakili Permuafakatan Kampung Warisan (Muafakat), Wong Tack (Himpunan Hijau), Hasni Abas (Gabungan Mansuhkan PPSMI) dan Mohd Nasaie Ismail (Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan