Khamis, 20 Disember 2012

Sabah minta Kementerian Pengangkutan selesaikan masalah membabitkan landasan KKIA

THE MALAYSIAN INSIDER

KOTA KINABALU — Kerajaan Sabah meminta Kementerian Pengangkutan untuk menyelesaikan masalah membabitkan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang didakwa kontraktor tidak selamat.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, berkata ini adalah satu perkara yang agak serius kerana membabitkan perkhidmatan penerbangan di negeri ini.

"Masalah ini memerlukan satu pendekatan dan penyelesaian yang mesti berpaksi kepada keselamatan dan Kementerian Pengangkutan telah pun memberi penjelasan landasan di lapangan terbang ini selamat digunakan.

"Adalah diharapkan Kementerian Pengangkutan akan turut menyelesaikan masalah dan isu yang ditimbulkan oleh kontraktor (Global Upline Sdn Bhd - GUSB), yang melakukan kerja-kerja menaik taraf lapangan terbang itu, katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Peringkat Negeri di sini hari ini.

Sehubungan itu, Pairin berharap Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha dapat datang untuk melihat sendiri landasan KKIA secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Pada 18 Dis lepas, Ketua Penasihat GUSB Tan Sri Ting Pek Khiing berkata syarikat itu telah menghentikan semua kerja pembinaan di KKIA berkuat kuasa 17 Dis lepas dan menyalahkan Kementerian Pengangkutan kerana gagal memberikan Sijil Siap Praktikal (CPC) kepada syarikat itu selepas kerja-kerja disiapkan mengikut jadual pada seksyen satu dalam Pakej 2 projek di lapangan terbang tersebut.

Sebaliknya, katanya Kementerian Pengangkutan mengeluarkan Sijil Perakuan Tidak Siap Kerja (CNC) dan mendakwa landasan KKIA tidak selamat untuk sebarang aktiviti kerana ia tidak diiktiraf sebagai sudah siap.

Beliau juga mendakwa kementerian itu enggan memulangkan 50 peratus Jaminan Bank (BG) serta gagal membayar tuntutan kontrak RM113 juta untuk kerja menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan RM21 juta untuk Lapangan Terbang Labuan sehingga GUSB mengambil tindakan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula pembayaran yang dijanjikan.

Semalam, Kementerian Pengangkutan mengeluarkan kenyataan menolak dakwaan GUSB bahawa landasan itu tidak selamat dan menjelaskan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), yang bertanggung jawab menetapkan piawaian lapangan terbang, dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), yang mengendali lapangan terbang berkenaan, telah mengesahkan KKIA mematuhi piawaian Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).— Bernama

Tiada ulasan: