Khairil Abdul Rahim, |
(Kawasan telaga minyak baru yang lebih besar dari Bertam)
TEMERLOH: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan terdapat sebuah telaga minyak baru ditemui yang lebih besar di perairan Pahang, berbanding telaga minyak di Bertam yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.
Gabungan Profesional Menuntut Royalti Minyak atau ‘R’ Pahang, pihaknya mempunyai bukti telaga minyak di medan ‘Rhu’ Blok PM-308 di dalam sempadan Pahang adalah enam kali lebih besar berbanding telaga minyak di Blok 307 Bertam, dalam perairan Terengganu.
Pengerusi NGO berkenaan, Nordin Majid, dalam kenyataan medianya berkata, malangnya, Kerajaan Pusat tidak mendedahkan penemuan blok itu kepada umum hingga menimbulkan persoalan, khususnya kepada mereka yang mengetahui mengenai perkara tersebut.
“Pahang sebenarnya mempunyai blok telaga minyak enam kali lebih besar daripada Bertam, tetapi tidak didedahkan.
“Kami harap Kerajaan Pusat dapat menjawab persoalan, mengapa Kerajaan Pusat tidak mendedahkan kepada umum penemuan telaga minyak di Blok 308 Rhu ini?” katanya.
Nordin berkata, pihaknya juga mahukan Kerajaan Pusat memberikan royalti lima peratus kepada Kerajaan Negeri dan bukannya wang ihsan bagi setiap penemuan minyak di perairan negeri ditemui.
Beliau berkata, sumber mengenai penemuan minyak di Blok PM-308 ‘Rhu’ berkeluasan 5,500 dan 8,600 kilometer persegi itu diperoleh hasil kajian dibuat ‘R’ Malaysia serta ‘R’ Pahang.
Menurutnya, rakyat Pahang secara umumnya perlu tahu sekiranya wujud blok lain selain Blok 307 Bertam yang diumumkan Kerajaan Pusat sebelum ini.
“Kerajaan Pusat juga perlu mengumumkan jumlah hasil Blok PM-308 Medan Rhu dan tarikh pengeluarannya bermula seperti mana pernah diumumkan kepada rakyat Pahang mengenai Blok PM-307 Bertam.
“Apabila medan minyak Rhu yang berada di dalam perairan Pahang mengeluarkan hasil, adakah rakyat Pahang akan dibayar royalti atau wang ihsan?” soalnya.
Nordin berkata, ‘R’ Pahang adalah sebuah NGO gabungan 100 NGO profesional lain bertindak bagi mencapai tujuan berkaitan tuntutan royalti mengikut perjanjian Akta Pembangunan Petroleum 1974 serta Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Pahang.
Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, pada Oktober lalu mengumumkan negeri Pahang dijangka menerima wang ihsan sekitar RM100 juta setahun, berikutan Petronas Carigali Sdn Bhd dan Lundin Oil menemui rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307.
Medan minyak itu terletak kira-kira 160km di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.
Namun begitu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, mendakwa telaga minyak berkenaan merupakan hak Terengganu.
CAPTION - Peta yang ditunjukkan oleh NGO ‘R’ Pahang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan