Isnin, 10 Disember 2012

PRU13: SPRM komited perangi politik wang

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

 Datuk Latifah Md Yatim
Datuk Latifah Md Yatim khuatir rasuah jadi budaya di Malaysia
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) senantiasa berusaha mempertingkatkan kawalan dan pencegahan gejala rasuah dan politik wang di negara ini, apatah lagi menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Latifah Md Yatim.

Ujarnya, SPRM mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan amalan berkenaan yang salah di sini undang-undang tidak dipraktikkan dalam pilihan raya di Malaysia.

"Politik wang ini memang kita pantau. Perkara itu memang satu kesalahan di bawah akta kita. Apabila kita menggunakan wang untuk memancing undi, dengan wang itu kita mahu dipilih atau apa, jadi itu memang satu kesalahan.

"SPRM pada setiap masa kita akan lipat gandakan kita punya usaha pencegahan rasuah. Di samping pencegahan, kita juga akan mendidik masyarakat, turun padang, mesra pelanggan," katanya ketika ditemui pada majlis Konvoi Avanza Pencegahan Rasuah SPRM.

Konvoi itu singgah di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf,  pagi ini sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya ke Seremban-Melaka.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Nasir Hamzah. Kumpulan Media Karangkraf menyokong program itu.

Kira-kira 120 ahli Northern Avanza Recreational Club menyertai konvoi ini sambil mengedarkan risalah bahaya amalan rasuah.

Latifah ditanya sama ada SPRM akan bekerjasama dengan Bank Negara yang akan memantau sebarang kemasukan dana asing menerusi NGO-NGO bertujuan membantu pembangkang membiayai usaha mensabotaj Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut beliau, SPRM sememangnya sentiasa komited menangani politik wang di negara bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara.

Beliau seterusnya menyambut baik usaha Bank Negara yang mengambil pendekatan memantau sebarang dana luar yang boleh mengancam keselamatan negara.

"Kita tidak mahu adanya satu kemasukan yang boleh memberikan impak yang negatif kepada negara. Kita hendak setiap penyataan kewangan yang melibatkan mana-mana individu atau syarikat dibuat dengan telus, telus.

"Kita takut cara kemasukan itu boleh menggamit satu keadaan yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara kita," katanya.

Sementara itu, beliau ketika diminta mengulas berhubung  Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang semakin baik berharap dengan adanya usaha berterusan, Malaysia mampu mencapai ke tahap yang lebih baik di masa hadapan.

"Pada masa sama kita kena lihat indikator itu dari sudut yang positif. Ia salah satu ruang yang boleh membawa kepada penarikan pelabur-pelabur ke Malaysia," ujar beliau.

CPI terbaru Malaysia menunjukkan negara berada di kedudukan ke-54 daripada 174 negara, berbanding ke-60 tahun lalu.

Tiada ulasan: