Sabtu, 8 Disember 2012

PR tekad baiki kedudukan CPI Malaysia ke-30 dan ke atas jika menang PRU-13 dan tadbir Putrajaya – Lim Guan Eng

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat dan DAP berjanji  memperkenalkan reformasi terhadap perkara yang dicadang oleh Transparency International (TI) bagi memastikan Malaysia menduduki tangga ke-30 dan ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sebaik memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan memerintah negara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata DAP bersetuju dengan cadangan Transparency International untuk melakukan perubahan struktur  bagi memerangi rasuah termasuk:

1.   Reformasi politik untuk mengurangkan politik wang dan menyisihkan peluang yang mengakibatkan rasuah besar.
2. Memperkasakan institusi penguatkuasaan undang-undang seperti SPRM, badan kehakiman dan polis supaya benar-benar bebas demi meyakinkan rakyat.
3.   Meluhurkan undang-undang tanpa takut atau memihak supaya “ikan besar” tidak imun (kebal) daripada dakwaan.
4.   Membaik pulih Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat di peringkat persekutuan.
5.   Tindakan tegas dan konsisten dalam menegakkan ketelusan dan kebertanggungjawab dalam kontrak kerajaan dan pemerolehan awam.
6.   Menangani rasuah sistemik dengan bertumpu kepada sektor khusus melalui pembabitan semua pihak berkepentingan termasuk sektor swasta, awam dan masyarakat madani.
7. Memperbaiki perundangan untuk melindungi peniup wisel dan menggalakkan pemberian maklumat yang lebih.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, rakyat Malaysia pasti berpuas hati dengan usaha membanteras rasuah hanya apabila “ikan besar” berjaya didakwa serta perubahan asas diperkenalkan untuk memerangi rasuah.

CPI yang baru dikeluarkan Transparency International menunjukkan Malaysia meningkat dalam kedudukan daripada tangga ke-60 daripada 183 negara pada 2011 kepada kedudukan ke-54 daripada 176 negara tahun ini.

“Walaupun peningkatan CPI dicapai, skandal seperti RM250 juta National Feedlot Corporation (NFC) tetap berterusan.

“Baru sekarang kita dapat lihat penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam kerajaan Selangor terdahulu, di mana tanah yang kini bernilai RM300 juta dijual kepada parti komponen BN dengan harga RM1 sekaki persegi dan bagaimana wakil BN di Pulau Pinang menjual tanah primer di Tanjung Tokong, bersebelahan Gurney Drive pada harga RM1 sekaki persegi,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurutnya, peningkatan keseluruhan dalam CPI mengaburi penemuan lain yang membimbangkan, seperti yang ditunjukkan dalam Kajian Pemberi Rasuah (Bribe Payer’s Survey).

Contohnya, Guan Eng berkata, apabila ditanya “adakah ia satu kelaziman bagi penjawat awam untuk meminta atau menerima rasuah?”, Malaysia mencatat markah 4.1 daripada 5 (5 adalah markah paling teruk), iaitu sebahu dengan Indonesia yang menduduki tangga ke-118 dalam CPI.

“Dan apabila ditanya, adakah satu kelaziman bagi penjawat awam, khususnya mereka yang berjawatan tinggi serta ahli politik untuk menyalahguna wang awam, Malaysia mencatat 4.3 daripada 5, markah yang lebih teruk berbanding Indonesia yang mendapat markah 4.2.

“Yang paling membimbangkan adalah hakikat bahawa 50% responden percaya bahawa mereka kehilangan peluang perniagaan akibat rasuah, lantas meletakkan Malaysia pada kedudukan paling teruk daripada semua 31 negara yang dikaji dalam Kajian Pemberi Rasuah, lebih teruk daripada Indonesia (47%), Pakistan (42%) dan Rusia (39%).

“Jika satu daripada teras utama NKRA Memerangi Rasuah – untuk mengukuhkan agensi penguatkuasaan, menangani rasuah besar serta mengurangkan ketirisan dalam pemerolehan kerajaan – dilaksanakan dengan betul, Malaysia sudah lama melonjak pada kedudukan ke-30 dan ke atas dalam CPI. Kegagalan mengambil tindakan ke atas “ikan besar” tidak meyakinkan rakyat terhadap kredibiliti SPRM atau komitmen politik kerajaan.

“Pada masa yang sama, walaupun terdapat banyak laporan polis, dakwaan serta siasatan terhadap Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, tiada tindakan diambil atau siasatan penuh dilakukan SPRM. Laporan Transparency International 2012 juga tidak merangkumi “sumbangan politik” RM40 juta kepada UMNO Sabah serta pendedahan ahli peniaga, Deepak Jaikishan mengenai urusan tanah yang mencurigakan. Deepak juga berkait secara tidak langsung kepada pembunuhan model Mongola Altantuya Shaaribuu,” kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.- Roketkini.com

Tiada ulasan: