Rabu, 19 Disember 2012

PPZ-MAIWP lepas cabaran, catat kutipan zakat perniagan RM56 juta

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA — Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencatat kutipan zakat perniagaan sebanyak RM56.4 juta setakat Sabtu lepas, sekali gus melepasi sasaran RM52.2 juta tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata jumlah kutipan itu juga merupakan peningkatan 20  peratus berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM46.9 juta.

“Secara keseluruhan sebanyak RM311 juta kutipan zakat dicatat sehingga November lalu, dan dijangka kutipan keseluruhan tahun ini akan dapat melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu RM360 juta,” katanya kepada pemberita selepas
Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Dan Agihan Zakat, di sini hari ini.

Pada majlis itu PPZ-MAIWP menerima RM8.9 juta daripada 15  syarikat termasuk Naza Kia Malaysia Sdn Bhd (RM3.5  juta, MMC Corporation Berhad (RM1.7 juta) dan Nasim Sdn Bhd (RM1.5 juta).

Jamil Khir turut menyampaikan agihan Bantuan Peralatan Sekolah berjumlah RM4.7 juta untuk 19,840 pelajar golongan asnaf bagi sesi persekolahan tahun depan.

Sementara itu Jamil Khir menasihatkan umat Islam di negara ini agar tidak terpengaruh dengan ramalan dunia akan kiamat Jumaat ini yang dibuat berdasarkan kalendar kaum Maya.

“Soal bila berlaku kiamat hanya Allah saja yang mengetahuinya,” katanya.  Beliau berkata umat Islam harus berpegang kepada al-Quran dan sunnah serta merujuk kepada golongan lebih arif sekiranya ada kemusykilan mengenai sesuatu perkara.

Jamil Khir turut meluahkan kehairanan apabila ramai yang lebih risau tentang tarikh berlaku kiamat sedangkan soal ibadat tidak dititik berat. — Bernama

Tiada ulasan: